KPT, JKR Sarawak selaras pelaksanaan projek infrastruktur IPT

Facebook
WhatsApp
KUNJUNG HORMAT… Datuk Mohd Nor Azman Hassan mengadakan kunjungan hormat kepada Datu Cassidy Morris bagi menyelaras pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur IPTA di Sarawak. Foto KPT

KUCHING: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menyelaraskan gerak kerja bersama bagi memastikan projek pembangunan infrastruktur Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di Sarawak dilaksanakan mengikut jadual, berkualiti serta memenuhi spesifikasi ditetapkan.

Usaha berkenaan dibincangkan menerusi kunjungan hormat Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohd Nor Azman Hassan kepada Pengarah JKR Sarawak, Datu Cassidy Morris di Ibu Pejabat JKR Sarawak pada 27 Ogos lalu.

Pertemuan itu menjadi platform penyelarasan antara KPT dan JKR Sarawak, khususnya dalam memastikan pelaksanaan serta pemantauan projek pembangunan infrastruktur IPTA berjalan lancar dan menepati keperluan institusi.

PENERANGAN… Datu Cassidy Morris memberi penerangan kepada Datuk Mohd Nor Azman Hassan.

Antara perkara yang diberi tumpuan ialah penyelarasan teknikal serta penyelesaian isu yang timbul di lapangan bagi memastikan sebarang kekangan dalam pelaksanaan projek dapat dikenal pasti dan ditangani secara bersama.

Kerjasama kedua-dua pihak turut meliputi aspek pematuhan spesifikasi, standard kualiti dan keperluan fungsi institusi pendidikan tinggi (IPT) bagi memastikan projek yang dilaksanakan mencapai matlamat ditetapkan.

Penyelarasan secara berterusan juga membolehkan KPT, JKR Sarawak dan institusi berkaitan mengambil tindakan secara lebih bersepadu terhadap perkara yang berpotensi menjejaskan kemajuan projek.

Langkah itu sekali gus memastikan pelaksanaan pembangunan infrastruktur pendidikan tinggi di Sarawak dapat berjalan dengan lebih teratur dan lancar.

KPT turut menzahirkan penghargaan kepada JKR Sarawak atas sokongan serta kepakaran teknikal yang diberikan dalam menjayakan agenda pembangunan infrastruktur pendidikan tinggi di Sarawak.

Turut hadir ialah delegasi KPT yang terdiri daripada wakil Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta pengarah-pengarah politeknik di Sarawak.