KUCHING: Kelab Peminat P. Ramlee (KPPR) terus memainkan peranan penting dalam menyerikan acara seni dan budaya berasaskan karya legenda seni tanah air, Tan Sri P. Ramlee.
Kelab ini sering diundang ke pelbagai majlis penting, termasuk program ilmiah dan persembahan khas untuk memperkenalkan dan menghargai warisan seni tokoh seniman agung ini.
Menurut Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022, Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah, pihak mereka berharap tradisi ini dapat diteruskan dengan sokongan pemimpin seperti Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Kelab ini pernah melaksanakan program serupa bersama pemimpin-pemimpin terdahulu, seperti Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Salahuddin dan Tun Abdul Taib Mahmud, dalam usaha mengangkat nama P. Ramlee sebagai ikon seni yang menjadi inspirasi kepada generasi muda.
“P. Ramlee bukan sahaja menghasilkan karya seni yang hebat, tetapi juga karya yang mengandungi nilai intelektual tinggi yang masih dihargai hingga kini,” ujarnya ketika ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Tun Pehin SriWan Junaidi di sini pada Isnin.
Kunjungan tersebut antara lain untuk merancang serta menganjurkan persembahan khas sempena sambutan hari lahir Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi nanti.
Persembahan tersebut bakal menampilkan gabungan nyanyian, tarian, dan lakonan dengan sokongan figura seni seperti Adlin Aman Ramli dan Dato’ Hairul Anwar Saleh dari Tanah Air Film.
Tanah Air Film yang kini mengusahakan projek ‘Legasi P. Ramlee’, turut merancang menghasilkan dua filem biografi mengenai Tan Sri P. Ramlee dalam tempoh dua tahun akan datang.
Projek ini juga merangkumi penerbitan ‘podcast’ yang bertujuan menghidupkan kembali karya seni malar segar seniman agung tersebut.
Dengan usaha berterusan ini, kelab berharap generasi muda dapat menjadikan seni sebagai medium pembentukan jati diri dan watak bangsa. – UKAS