Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • KPop Demon Hunters raih anugerah Filem Animasi Terbaik Oscar
  • HIBURAN

KPop Demon Hunters raih anugerah Filem Animasi Terbaik Oscar

Utusan Sarawak 4 hours ago
ZHUN, Mark Sonnenblick, EJAE, NHD dan Yuhan, pemenang anugerah Muzik (Lagu Asal) untuk lagu Golden menerusi filem animasi KPop Demon Hunters, pada majlis Governors Ball Anugerah Oscar Ke-98. Foto AFP

HOLLYWOOD, California: Filem KPop Demon Hunters memenangi anugerah Oscar bagi kategori Filem Animasi Terbaik pada majlis Anugerah Oscar Ke-98 di Los Angeles pada Ahad.

Majlis penuh glamor itu berlangsung di tengah-tengah ketegangan perang Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran, menyaksikan kawalan keselamatan ketat di sekitar lokasi majlis susulan amaran persekutuan mengenai kemungkinan ancaman Iran terhadap California.

KPop Demon Hunters melakar kejayaan luar biasa selepas menjadi filem paling banyak ditonton di platform Netflix sebaik sahaja ditayangkan pada 2025.

Malah, runut bunyi filem itu turut menjadi sohor kini di seluruh dunia.

Dalam satu kenyataan media pada Januari 2026, Netflix melaporkan filem itu memecahkan rekod sebagai judul paling banyak ditonton dalam tempoh enam bulan dengan 482 juta tontonan, selain 32 juta tontonan bagi video liriknya.

Dihasilkan oleh Sony Pictures Animation, filem popular Netflix itu diarahkan oleh Maggie Kang dan Chris Appelhans. Calon lain dalam kategori filem animasi terbaik termasuk Zootopia 2, Arco, Little Amélie or the Character of Rain dan Elio.

Sementara itu, filem Sentimental Value arahan Joachim Trier memenangi kategori filem antarabangsa terbaik, sekali gus menjadi filem Norway pertama memenangi kategori itu selepas enam pencalonan sebelum ini.

Filem itu menampilkan Renate Reinsve sebagai Nora, seorang pelakon pentas yang mempunyai hubungan rumit dengan bapanya, Gustav Borg (lakonan Stellan Skarsgard), seorang pengarah filem yang kerjayanya semakin pudar.

Bagi kategori filem dokumentari terbaik, anugerah dirangkul oleh Mr. Nobody Against Putin, yang mengisahkan keberanian seorang guru sekolah muda di Rusia melakukan penentangan secara senyap terhadap perang Rusia ke atas Ukraine.

Filem hasil karya Borenstein dan Talankin itu menggunakan rakaman selama dua tahun oleh Talankin bagi mendedahkan bagaimana kerajaan Rusia menerapkan mesej properang kepada pelajar.

Rakaman itu turut mendokumentasikan penganiayaan serta pengasingan yang dihadapi Talankin, yang disifatkan oleh The Hollywood Reporter sebagai sebuah “kronikal yang menyentuh hati dan intim.”

Pelakon veteran Hollywood, Sean Penn merangkul anugerah Oscar ketiganya menerusi kategori pelakon pembantu lelaki terbaik melalui watak pegawai tentera dalam filem ngeri politik One Battle After Another.

Penn, 65, memegang watak Kolonel Steven Lockjaw, seorang nasionalis kulit putih yang mencintai seorang revolusioner kulit hitam namun dalam masa sama membenci perjuangan wanita itu dan keluarganya. Bagaimanapun, pelakon itu tidak hadir untuk menerima anugerah berkenaan.

Michael B. Jordan yang menerima pencalonan sulungnya, meraih kategori pelakon lelaki terbaik menerusi watak pasangan kembar dalam filem pontianak Sinners.

Jordan, 39, memegang watak Elijah Smoke dan Elias Stack Moore, dua veteran perang yang cuba menggunakan wang curi untuk membuka premis hiburan di Mississippi semasa era Kemelesetan Besar.

Bagi kategori pelakon wanita terbaik, Jessie Buckley memenangi anugerah Oscar pertamanya menerusi watak isteri sasterawan William Shakespeare dalam filem Hamnet. – Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: One Battle After Another menang Oscar Filem Terbaik
Next: Sohaimi Mior imbau asal-usul lagu Epilog Cinta Dari Bromley

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.