
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengarahkan semua Ketua Polis Negeri memperhebat kawalan dan rondaan di kawasan sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar, guru serta warga pendidik sentiasa terjamin.
Beliau berkata arahan itu turut merangkumi pelaksanaan rondaan berkala oleh unit rondaan, risikan jenayah serta pasukan pemantauan khas bagi memastikan keselamatan sekolah terus terpelihara, selain mengesan lebih awal sebarang ancaman atau aktiviti yang boleh menjejaskan ketenteraman.
“Jika ada keperluan, Unit Kereta Peronda boleh menjalankan rondaan di sekitar kawasan sekolah dalam tempoh satu hingga lima minit bagi meninjau dan memastikan tahap keselamatan di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Khalid berkata langkah itu sejajar dengan dasar kerajaan untuk memperkukuh aspek keselamatan di sekolah, selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya anggota polis ditempatkan di sekolah di seluruh negara.
Katanya usaha mempertingkatkan rondaan di sekolah bukan sekadar memastikan keselamatan fizikal, tetapi juga membina keyakinan masyarakat terhadap kehadiran polis sebagai rakan strategik dalam komuniti pendidikan.
Semalam, Anwar berkata Kerajaan bersetuju untuk meneruskan langkah meletakkan kehadiran polis di kawasan sekolah bagi menjamin keselamatan pelajar selepas melihat kepada masalah buli, penderaan dan jenayah di sekolah yang semakin berleluasa.
Mohd Khalid berkata PDRM sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan melalui rangkaian lebih 9,000 sekolah yang kini mempunyai Pegawai Perhubungan Sekolah (PRP) bagi memperkukuh hubungan antara pihak polis dan pentadbiran sekolah.
-Bernama