PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti cadangan untuk menempatkan pelajar di Sabah yang akan menduduki peperiksaan, di asrama bagi sekolah yang terpaksa ditutup ekoran pandemik Covid-19, kata Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin.
Katanya, ini susulan kecenderungan ibu bapa di Sabah yang mahukan anak mereka yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), menjalani sesi pembelajaran secara bersemuka dengan para guru
“Cadangan itu diteliti susulan permintaan daripada ibu bapa di negeri itu,” katanya dalam sidang media di sini semalam selepas mempengerusikan mesyuarat secara dalam talian, bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurutnya, walaupun pelajar yang tinggal di asrama di Sabah telah dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing ekoran pelaksanaan PKPB, namun kebanyakan ibu bapa memilih agar mereka terus tinggal di asrama kerana keadaannya yang kondusif dan lebih selamat.
Selain itu katanya, akses kepada internet yang terhad serta ketiadaan peranti untuk menjalani pembelajaran secara dalam talian, juga menjadi faktor kekangan kepada para pelajar terutama bagi mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Namun guru-guru telah melakukan usaha terbaik mereka, dengan menyediakan modul-modul untuk pelajar yang tiada kemudahan internet dan peranti, khususnya untuk mereka yang akan menghadapi peperiksaan bagi membolehkan mereka mengulangkaji di rumah pada tempoh ini,” katanya.
Radzi berkata, pelaksanaan PKPB kali ini secara umumnya agak berbeza, kerana para pelajar lebih bersedia untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian, kerana telah berpengalaman ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Mengenai penutupan sekolah, Radzi berkata perkara itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), berdasarkan situasi jangkitan wabak di sesebuah kawasan.
“Kita akan patuh kepada arahan KKM dan buat masa ini, penutupan sekolah adalah di kawasan zon merah yang mempunyai jangkitan dalam kalangan komuniti dan sekolah, yang mempunyai kes positif Covid-19,” katanya.
Buat masa ini, katanya sebanyak 2,601 sekolah yang berdaftar dengan KPM ditutup sementara, ekoran Covid-19 melibatkan 1.67 juta pelajar.
Kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula 14 hingga 27 Oktober. PKPB juga dilaksanakan di seluruh Sabah berkuat kuasa 13 sehingga 26 Oktober ini. – Bernama