
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menyasar meningkatkan kadar enrolmen ke sekolah menengah melepasi 95 peratus, selaras dengan pindaan Akta Pendidikan (Pindaan) 2025 yang akan berkuat kuasa kelak.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata kejayaan enrolmen sekolah rendah yang melonjak daripada sekitar 92 peratus pada 2003 kepada lebih 99 peratus pada 2026, membuktikan keberkesanan dasar pendidikan wajib yang dilaksanakan 23 tahun lepas.
“Kini hasrat kita, matlamat kita bukan sekadar dan tidak lagi terhad kepada pendidikan rendah sahaja. Kita mahu memastikan kita mencapai enrolmen sejagat lebih kurang 94 peratus di peringkat sekolah menengah.
“Selepas pindaan Akta Pendidikan (Pindaan) 2025 ini berkuat kuasa, kita berharap dapat melepasi enrolmen sejagat yang ditetapkan pada tahap 95 peratus dan akan ditingkatkan lagi pada tahun-tahun akan datang,” katanya pada Program Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang 2025 serta Majlis Jasamu Dikenang Tahun 2025/2026 KPM, di sini, hari ini.
Pada Julai tahun lepas, Rang Undang-undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 yang mewajibkan pendidikan menengah telah diluluskan di Dewan Rakyat.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menggulung perbahasan itu berkata, apabila dikuatkuasakan kelak RUU itu akan turut merangkumi institusi pendidikan swasta berdaftar dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
Wong dalam pada itu berkata, pindaan Akta Pendidikan tersebut bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada ibu bapa dan pelajar akan kepentingan untuk bersekolah sehingga tamat Tingkatan Lima.
“Kita berharap dengan usaha gigih bukan sahaja dari segi perundangan tetapi juga usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan juga pelajar, kita akan dapat tingkatkan enrolmen melebihi sasaran 95 peratus,” katanya.
Sementara itu, Wong berkata, KPM komited untuk memastikan akses pendidikan diberikan kepada semua rakyat Malaysia dengan peluasaan inisiatif sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11).
Sekolah Model Khas Komprehensif K9 merujuk kepada sembilan tahun persekolahan di sekolah rendah dan menengah rendah, yang mana murid akan berada di sekolah rendah selama enam tahun dan menengah rendah tiga tahun di sekolah yang sama.
Manakala Sekolah Model Khas Komprehensif K11 pula akses pendidikan yang lebih menyeluruh pada peringkat rendah hingga menengah selama 11 tahun, iaitu daripada Tahun 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah yang sama.
Beliau berkata setakat ini terdapat 26 sekolah K9 dan sembilan sekolah K11 di seluruh negara.
“Pada tahun depan, KPM menyasarkan untuk menambah tujuh buah sekolah K11 menjadikan jumlah keseluruhan 16 dan antara lokasi sekolah yang disasarkan termasuklah di Perak, Terengganu, Kelantan, Pahang, dan Sabah.
“Sekolah (terbabit) telah dikenal pasti dan kita sedang buat usaha dan persediaan, dan maklumat akan dimaklumkan selepas kesemuanya dimuktamadkan,” katanya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPM Datuk Wan Hashim Wan Rahim dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad. – Bernama