SHAH ALAM: Saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Tingkatan Enam tidak terikat dengan peraturan sekolah boleh dibuat apabila berada pada mod pertama iaitu Kolej Tingkatan Enam, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik saranan Anwar, selain pihaknya kini telah bergerak ke arah itu namun perjalanannya sedikit panjang.
Katanya, perhatian sentiasa diberikan dalam konteks hala tuju Tingkatan Enam termasuk kekuatan subjek, fasiliti dan infrastruktur memandangkan mereka bukan dalam lingkungan sekolah lagi.
“Kita sekarang ada tiga mod Tingkatan Enam, pertama, Kolej Tingkatan Enam, mereka sahaja ditempatkan di situ; mod kedua, mereka (Tingkatan Enam) ada blok berasingan dan mod tiga, bersekali dengan aliran perdana (tingkatan lain) tetapi kita memberikan banyak fleksibiliti.
“Ketika ini, kita banyak di mod ketiga, jadi, kita ke arah memperkemaskan ke arah mod pertama, maknanya semua Tingkatan Enam jadi Kolej Tingkatan Enam,” katanya selepas merasmikan Tapak Projek Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Regent Elmina di Bandar Elmina dekat sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata KPM akan terus memfokuskan penyelesaian isu kepadatan pelajar sekolah di Selangor.
“Pihak kami sedar bahawa Selangor adalah negeri yang paling padat selain mempunyai paling banyak sekolah, murid dan guru. Jadi, memang kita punya tumpuan untuk Selangor ini lebih sikit bagi memastikan sekolah cukup di negeri ini.
“Kepadatan dapat disuraikan dengan pembinaan sekolah yang dapat atasi isu kesesakan pelajar dalam sekolah,” katanya.
Mengulas mengenai program hari ini, Fadhlina berkata sekolah itu dijangka siap pada Mac 2025 dengan pengambilan pelajar bermula pada 2026.
Pada Sabtu lepas, Anwar menyarankan agar Tingkatan Enam di negara ini tidak seharusnya terikat dengan peraturan sekolah, sebaliknya diberi sedikit kelonggaran walaupun berada di kawasan persekolahan.
Selain itu, Anwar turut mencadangkan agar suasana Tingkatan Enam harus diubah kerana ia sebenarnya merupakan pascasekolah seperti Matrikulasi berikutan sesi persekolahan berakhir pada Tingkatan Lima. – Bernama