
SISTEM pendidikan negara membuka lembaran baharu apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025, bertujuan mewajibkan pendidikan menengah, diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini.
RUU itu antara lain bagi memasukkan seksyen baharu 32A yang memperuntukkan setiap ibu bapa yang anaknya merupakan warganegara dan anak itu tinggal di Malaysia, hendaklah memastikan mereka didaftarkan sebagai murid di institusi pendidikan bagi pendidikan menengah dan terus
menjadi murid sepanjang tempoh pendidikan menengah.
Menerusi dasar ini, ibu bapa perlu memastikan anak mereka mendapat pendidikan menengah sama seperti mereka mendapat pendidikan di peringkat rendah.
Dasar ini secara umumnya mewajibkan semua golongan muda mendapat pendidikan sehingga umur 17 tahun.
Ini penting sebagai pemangkin perubahan untuk memastikan semua kanak-kanak di Malaysia mendapat peluang pendidikan hingga ke peringkat menengah sekali gus mengelakkan keciciran.
Dengan ada dasar ini, isu kehadiran dan keciciran pelajar dapat ditangani dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara.
Kegagalan ibu bapa memastikan anaknya mengikut pendidikan wajib merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang.
Kumpulan ibu bapa berpotensi disabitkan dengan hukuman denda tidak lebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tindakan undang-undang adalah langkah terakhir yang akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) jika ibu bapa gagal mematuhi Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah.
Sebaliknya, KPM akan memberi tumpuan kepada proses advokasi, kesedaran dan tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan fasiliti dan akses pendidikan terlebih dahulu.
Ketika Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Rendah dahulu dilaksanakan, tiada seorang ibu bapa dikenakan tindakan undang-undang, yang kita dengar.
PUNCA ISU KECICIRAN

Pindaan akta itu membuktikan komitmen kerajaan untuk menjamin hak pendidikan setiap anak hingga ke tahap minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional setara yang diiktiraf kerajaan.
Bagaimanapun, pihak KPM juga perlu mengambil kira masalah kemiskinan, pengangkutan dan prasarana di pedalaman dalam isu ini.
Misalnya, anak petani dan nelayan di luar bandar dan pedalaman terpaksa berhenti sekolah kerana kemiskinan. Anak-anak ini membantu ibu bapa mencari rezeki bagi menyara kehidupan keluarga.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi ketika sesi perbahasan RUU berkenaan, berkata penguatkuasaan dasar pendidikan menengah wajib harus mengambil kira masalah tekanan sosioekonomi dan kemiskinan yang masih membelenggu ramai keluarga di pedalaman.
Katanya, ramai pelajar yang terpaksa berhenti sekolah kerana perlu bekerja untuk membantu keperluan asas keluarga.
Selain itu, katanya, ramai ibu bapa yang tidak mampu untuk membeli pakaian seragam dan keperluan pelajaran yang lain dan akhirnya memilih untuk tidak menyambung persekolahan anak ke peringkat menengah.
“Keadaan sekolah yang daif, tiada akses internet, tiada kemudahan peralatan belajar, infrastruktur sekolah yang uzur, masalah kekurangan guru dan suasana pembelajaran yang tidak kondusif telah mencipta pengalaman buruk dan negatif pada pelajar dan akhirnya menjadi faktor yang menolak minat mereka untuk terus belajar di sekolah menengah.
“Tidak dinafikan faktor kemiskinan merupakan penghalang utama pelajar khususnya di luar bandar Sarawak untuk menyambung pelajaran ke peringkat menengah dalam komuniti yang miskin, wujud persepsi dan budaya bahawa tamat sekolah rendah sudah mencukupi untuk anak-anak mereka bekerja di kedai-kedai runcit, kilang dan sebagainya.
“Malah pendidikan menengah dilihat tidak memberi pulangan segera malah membebankan kehidupan mereka,” katanya.
Ahmad Johnie tentu arif mengenai permasalahan ini apatah lagi bapanya bekas seorang guru besar berpuluh tahun mengajar di sekolah luar bandar di Matu, Daro dan Pulau Bruit yang begitu mundur dahulu kala.
BERI BANTUAN AWAL
Berikutan itu, Ahli Parlimen Igan itu mencadangkan agar bantuan awal persekolahan ditambah dan diberi secara bersasar kepada pelajar miskin untuk membantu mereka membeli pakaian sekolah, buku, alat tulis dan sebagainya.

“Selain itu, dicadangkan agar kerajaan menawarkan biasiswa kecil kepada pelajar berprestasi dari kalangan keluarga miskin secara bulanan.
“Kementerian Pendidikan juga perlu melihat kepada keperluan membina sekolah menengah baharu di zon luar bandar untuk mengurangkan kebergantungan kepada sekolah bandar dan mengelak pelajar tercicir kerana jarak yang jauh,” jelasnya.
Perkara ini perlu diteliti oleh KPM kerana setengah ibu bapa memang mahu anak mereka ke sekolah tetapi tidak berdaya kerana dibelenggu kemiskinan.
Bayangkan jika ada anak lapan, 10 orang sudah pasti amat membebankan untuk membeli pakaian seragam sekolah, apatah lagi untuk keperluan peralatan sekolah.
Bagi Ahmad Johnie, pelaksanaan dasar pendidikan menengah wajib di Sarawak hanya akan berjaya jika ekosistem
pendidikan di luar bandar diperkukuhkan terlebih dahulu.
“Cadangan ini bertujuan agar tiada pelajar yang tercicir hanya kerana keluarga mereka miskin, tinggal jauh di pedalaman, sekolah daif, kekurangan alat kemudahan mengajar, tiada guru dan sebagainya,” jelasnya.
Bagaimanapun, seperti kata Fadhlina, KPM juga akan memastikan semua bantuan yang disediakan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI sampai kepada murid.
“KPM komited untuk meningkatkan kadar penyertaan enrolmen murid ke sekolah menengah, yang kini berada pada tahap 94.86 peratus, melepasi enrolmen sejagat iaitu 95 peratus,” katanya.
KPM perlu lebih proaktif dengan mengenal pasti punca utama kenapa anak-anak ini tidak hadir ke sekolah secara lokaliti.
Misalnya dari segi jarak rumah ke sekolah terdekat, tahap prasarana, dan komuniti di situ. Situasi ini lazimnya berlaku di Sarawak dan Sabah, kerana pembangunan masih tidak seimbang berbanding di Semenanjung.
Sebagai contoh, jika sesuatu kawasan itu, ramai anak-anak tidak bersekolah atau keciciran, pergilah siasat apa punca sebenar, bukan bersandarkan kepada laporan di bilik mesyuarat sahaja.
Namun, langkah Malaysia mewajibkan pendidikan menengah amat dialu-alukan sebagai persiapan ke arah negara maju menjelang 2030.
Negara seperti Amerika Syarikat (AS), Finland dan United Kingdom (UK) telah mewajibkan pendidikan rendah dan menengah.
Belanda misalnya menyediakan pelbagai aliran seperti akademik, teknikal dan vokasional untuk rakyatnya seawal umur 12, dan pelajar boleh berpindah antara aliran.
Diharapkan usaha murni KPM mewajibkan pendidikan menengah, disusuli tindakan kaedah menangani isu keciciran pelajar luar bandar dan pedalaman.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak