

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan komitmen untuk memperkukuh keselamatan di sekolah dan tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku buli susulan insiden membabitkan pelajar Zara Qairina Mahathir.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata usaha membanteras gejala itu memerlukan kerjasama semua pihak, selain pematuhan sepenuhnya terhadap garis panduan sedia ada melalui Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI).
“KPM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku buli di institusi pendidikan. Usaha membanteras gejala buli ialah usaha berpanjangan yang memerlukan komitmen semua pihak agar ekosistem sekolah sentiasa selamat dan kondusif,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Salehuddin Saidin tentang langkah KPM meningkatkan keselamatan di sekolah dan mencegah kes buli serta ugutan, dengan tragedi membabitkan Zara Qairina dijadikan pengajaran.
Wong berkata SPI yang diguna pakai termasuk SPI Bilangan 12 Tahun 2023 mengenai pengurusan salah laku buli; SPI Bilangan 8 Tahun 2011 mengenai keselamatan murid; SPI Bilangan 7 Tahun 2011 berhubung SOP 137 dan pelaporan isu disiplin; SPI Bilangan 4 Tahun 2002 mengenai pelaksanaan Program Sekolah Selamat; serta SPI Bilangan 9 Tahun 2000 berkaitan keselamatan diri murid semasa pengajaran pendidikan jasmani, kesihatan dan kegiatan kokurikulum.
Wong berkata konsep sekolah selamat menekankan keperluan persekitaran fizikal, sosial dan emosi yang stabil untuk semua warga sekolah, sejajar dengan pelaksanaan pelan tindakan komprehensif segera KPM.
“Hal ini selaras dengan pelan tindakan komprehensif segera KPM, termasuk tinjauan keselamatan ke sekolah oleh Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang ditubuhkan bagi menangani isu keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah,” katanya.
Beliau berkata audit keselamatan turut dijalankan di seluruh negara, disusuli pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan pengukuhan program sokongan kesihatan mental serta psikososial.
Berhubung usaha memperkukuh keupayaan sekolah, Wong berkata KPM menempatkan 10,096 guru baharu pada November lepas, termasuk lebih 500 guru bimbingan dan kaunseling.
“Mengenai CCTV, KPM memperuntukkan RM3 juta untuk pemasangan kamera itu di 200 sekolah asrama, yang telah siap sepenuhnya pada 19 Nov 2025,” katanya.
Beliau berkata pemasangan CCTV akan diperluas ke 333 sekolah asrama lain dengan peruntukan tambahan RM5 juta. Bermula pada 2026, KPM turut akan melantik 600 pembantu warden asrama dalam kalangan petugas daripada program MySTEP untuk memperkukuh pengawasan pada waktu malam.
Wong berkata reformasi segera terhadap sistem keselamatan sekolah terus dilaksanakan bagi memastikan pencegahan buli lebih berkesan dan menyeluruh.- Bernama