
IPOH: Kementerian Pendidikan (KPM) komited memperkasa kesejahteraan mental murid dan memastikan persekitaran sekolah selamat.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, langkah itu termasuk penubuhan Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang melibatkan pemegang taruh di peringkat KPM, selain membabitkan gabungan pakar akademik, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.
“Wakil daripada UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan NUTP (Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan) juga terlibat untuk memberikan pandangan serta input bagi menambah baik keadaan sedia ada, selain mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Wong berkata demikian selepas merasmikan Sistem Penjanaan Tenaga Solar Program Skim Pemeteran Tenaga Bersih 3.0, iaitu projek perintis pertama di sekolah bantuan kerajaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sam Chai di sini hari ini.
Beliau berkata, KPM juga mengambil tindakan berterusan dengan menjalankan saringan mental pelajar, khidmat nasihat serta pelbagai program melibatkan rakan sebaya, guru bimbingan dan kaunseling.
Menurut Wong, KPM memandang serius setiap insiden yang berlaku dan mengarahkan semua Jabatan Pendidikan Negeri serta Pejabat Pendidikan Daerah mematuhi garis panduan sedia ada selain melaporkan sebarang kes dengan segera.
Selain itu, beliau berkata KPM telah pun memperkukuh mekanisme sedia ada dengan Surat Pekeliling Ikhtisas berdasarkan SOP137 berkaitan pelaporan dan tindakan menangani isu disiplin murid.
“Usaha itu turut diperkukuh dengan pelaksanaan Program Pembangunan Karakter Generasi MADANI bagi membina peribadi murid secara holistik demi menyeimbangkan dimensi intelektual, sahsiah serta spiritual.
“Usaha menangani cabaran yang dihadapi pelajar memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan semua pihak termasuk KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, PPD, sekolah, ibu bapa dan masyarakat,” katanya. – Bernama





