
KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan perbincangan khusus minggu depan bagi memperhalusi mekanisme bekerja dari rumah (BDR) termasuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam kalangan pelajar sekolah serta penjawat awam kementerian itu sekiranya dasar berkenaan diputuskan dilaksanakan kerajaan.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, perbincangan akan dipengerusikan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dengan disertai Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha KPM serta barisan pengurusan tertinggi kementerian itu.
Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan sebarang pelaksanaan kelak benar-benar mencapai matlamat asal yang digariskan oleh kerajaan, khususnya dalam aspek penjimatan utiliti.
“Kita (KPM) akan teliti saranan itu (BDR dan PdPR) dari pelbagai sudut. Bukan sekadar dengar arahan dan terus buat, bimbang akhirnya matlamat tidak tercapai.
“Sebagai contoh, jika kita berhasrat untuk menjimatkan penggunaan elektrik di bangunan pejabat, tetapi masih ada dua atau tiga pekerja yang hadir di setiap sektor, penjimatan tidak akan berlaku,” katanya kepada pemberita selepas program Jaulah Ramadan Perdana Tahun 2026 KPM di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa di sini malam ini.
Mohd Azam berkata, KPM juga akan menggunakan pengalaman pelaksanaan BDR ketika pandemik COVID-19 lepas untuk merangka strategi lebih mantap.
Pada Khamis, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel termasuk BDR dilihat sebagai antara langkah penting bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, bencana atau krisis kesihatan awam.
Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara-negara Teluk.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan berusaha sedaya mungkin untuk mengekalkan harga RON95 pada paras RM1.99 seliter supaya tidak membebankan rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata meskipun harga minyak dilaporkan semakin meningkat di pasaran global, keadaan di negara ini masih lagi terkawal dengan ketetapan harga RON95 yang rendah menerusi subsidi bersasar. – Bernama