
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited memastikan pengisian jawatan guru di seluruh negara mencukupi bagi menjamin proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berjalan secara optimum dan berkesan.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata sehingga 31 Ogos lepas, sebanyak 96.51 peratus daripada 431,128 perjawatan guru yang diluluskan telah diisi, melibatkan seramai 416,096 guru.
Menurutnya, KPM juga akan menempatkan 10,096 guru baharu pada November ini bagi menampung kekurangan tenaga pengajar, khususnya bagi mata pelajaran kritikal.
“Tiga negeri mencatat kadar pengisian tertinggi iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (100 peratus), Sabah (98 peratus) dan Wilayah Persekutuan Labuan (97.7 peratus), manakala Johor, Pahang, Sarawak dan Pulau Pinang masing-masing mencatat kadar di bawah 96 peratus.
“Bagi mengatasi kekurangan guru, khususnya dalam mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Reka Bentuk dan Teknologi, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral serta Pendidikan Khas, KPM telah melaksanakan beberapa pendekatan strategik,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Wong berkata antara langkah yang diambil termasuk penempatan 10,045 guru baharu sehingga 22 September lepas, menjadikan jumlah keseluruhan guru baharu tahun ini seramai 20,141 orang selepas pengambilan November dilaksanakan.
Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang meminta penjelasan mengenai jumlah kekosongan guru mengikut negeri dan opsyen mata pelajaran, jumlah permohonan yang masih menunggu, serta langkah kementerian mempercepatkan proses penempatan guru baharu.
Selain itu, katanya, KPM turut memperkukuh pengambilan guru melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), termasuk pelantikan secara kontrak untuk graduan universiti awam dan swasta, kluster mata pelajaran, serta penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Kekurangan Guru bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Beliau berkata bagi mengukuhkan penyelesaian jangka panjang, KPM juga meningkatkan pengambilan bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) kepada lebih 11,000 orang tahun ini berbanding 6,000 orang tahun lepas, bagi memastikan kelestarian bekalan guru untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Pengambilan bagi program PISMP ini terbuka kepada calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta program matrikulasi,” katanya.- Bernama