
KOTA BHARU, 9 Jan -- Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin (tiga, kiri) mengadakan lawatan pengoperasian sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail hari ini. Turut sama Penolong Kanan Pentadbiran sekolah, Mohd Fadzil Salleh (kiri). Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju melanjutkan pengecualian sewaan kantin bagi tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun 2022. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA KOTA BHARU, Jan 9 -- Senior Education Minister Datuk Dr Radzi Jidin during his visit to Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail to look into its operation, here today. Also present was the school's Senior Administrative Assistant, Mohd Fadzil Salleh (left). The Ministry of Education (KPM) has agreed to give rent exemption to school canteens for six months starting from January to June 2022. -- fotoBERNAMA (2022) COPYRIGHT RESERVED

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju melanjutkan pengecualian sewaan kantin bagi tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun 2022.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, lanjutan pengecualian sewaan juga diberikan untuk tempoh yang sama bagi sewaan premis, kedai buku, koperasi, kedai dobi, mesin minuman air (vending machine) di sekolah di bawah KPM.
“Kita terima banyak permohonan pengusaha kantin sebelum ini yang meminta supaya diberi sekali lagi pengecualian sewaan kantin.
“Justeru, kita membuat keputusan untuk memberi pengecualian sewaan selama enam bulan termasuk premis-premis yang berada dalam sekitar sekolah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pengoperasian sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, di sini semalam.
Terdahulu, Radzi mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 1 dan SK Zainab 2 sempena pengoperasian sekolah di Kelantan bagi Penggal 3, 2021/2022.
Pada Julai tahun lepas, KPM memberi pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang bagi tempoh enam bulan hingga akhir 2021 akibat penutupan sekolah.
Seramai 1.18 juta murid bagi kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu memulakan sesi persekolahan hari ini bagi penggal ketiga, 2021/2022. Bagaimanapun, 31 sekolah di Johor yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan masih dilanda banjir tidak akan dibuka.
Bagi sekolah di negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan mula dibuka hari ini, 10 Januari.
— Bernama