
KUALA LUMPUR: Aspek kesihatan mental dan larangan keras membawa bahan terlarang dan berbahaya, antara lima komponen utama reformasi serta-merta pendidikan negara dalam usaha memastikan sekolah menjadi premis lebih selamat untuk semua.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata aspek lain yang diberi penekanan ialah pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, Polisi Perlindungan Kanak-kanak (CPP) dan bimbingan serta sokongan daripada guru (Teacher Care and Support).
Beliau berkata kesemua Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah dikerah melaksanakan reformasi itu secara praktikal dan efisien di semua 10,243 sekolah di seluruh Malaysia dengan penilaian pelaksanaannya akan dipantau serta dinilai setiap 15 hari.
“Dalam aspek kesihatan mental, pengukuhan dan intervensi kesihatan mental akan diberi keutamaan, khususnya pengukuhan ekosistem, sokongan kepada guru pembimbing dan kaunseling serta para murid, selain melibatkan Kementerian Kesihatan serta rakan strategik dalam bidang berkaitan,” katanya.
Fadhlina berkata demikian bagi menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai tindakan segera dan menyeluruh yang telah dan akan diambil kementerian bagi memastikan insiden tragis seperti kes pelajar dirogol di dalam kelas tidak berulang, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata pemeriksaan berkala dan mengejut melibatkan pihak sekolah dengan kerjasama agensi kerajaan dilaksanakan bagi memastikan tiada unsur bahan terlarang dan berbahaya masuk ke premis sekolah.
Beliau berkata pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial pula tertumpu kepada menangani keganasan seksual terhadap kanak-kanak, program kesedaran serta intervensi khusus secara berfokus dan jelas berpandukan pandangan agama, nilai dan budaya.
“CPP pula akan melibatkan semua pihak berkepentingan, iaitu ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah dalam memastikan kesedaran, akauntabiliti semua pihak terhadap keselamatan murid, manakala bimbingan serta sokongan daripada guru melibatkan pengukuhan sistem sokongan psikososial kepada guru,” katanya.
Selain lima komponen utama itu, KPM juga akan memberikan tumpuan kepada suara pelajar dalam mendapat pandangan serta hasrat mereka bagi memastikan keselamatan di sekolah.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata mata pelajaran Pendidikan Karakter akan menjadi tunjang kepada Kurikulum Persekolahan 2027 yang akan dimulakan seawal tahun depan pada peringkat prasekolah bagi memperkasakan pembangunan peribadi dan sahsiah murid.
Menjawab soalan tambahan Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) sama ada kementerian mempunyai hasrat untuk melakukan audit keselamatan fizikal di semua aset kementerian, Fadhlina berkata perkara itu sedang dilakukan dan hingga kini, sebanyak 735 sekolah telah selesai diaudit. – Bernama