KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa menyelaraskan sistem aduan di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan mekanisme yang diperuntukkan di bawah Akta Antibuli 2026 bagi menjamin perlindungan segera kepada murid.
Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat PKR Karen Kasturi berkata penyelarasan itu termasuk menyediakan laluan kepada Tribunal bagi Antibuli bagi kes yang memenuhi syarat dan berada dalam bidang kuasanya.
Beliau berkata sistem aduan tidak seharusnya rumit sehingga memaksa murid, ibu bapa atau penjaga berurusan dengan pelbagai saluran tanpa mengetahui tindakan susulan yang akan diambil.
“Setiap aduan yang serius perlu disusuli dengan penilaian risiko terhadap keselamatan dan kesejahteraan murid, penentuan pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan, tempoh tindakan yang jelas, pemantauan yang berterusan serta pemakluman kepada ibu bapa atau penjaga.
“Lebih penting, perlindungan terhadap murid mesti bermula sebaik sahaja sesuatu aduan diterima. Murid yang membuat aduan juga mesti dilindungi daripada sebarang tindakan balas, ancaman, tekanan, stigma atau diskriminasi kerana berani bersuara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan insiden kematian seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang terkait dengan dakwaan perbuatan buli dan kata-kata berunsur perkauman di sebuah sekolah di ibu negara.
Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengarahkan Jemaah Nazir, PPD dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk menyelesaikan siasatan dalaman berhubung kes kematian pelajar berkenaan dengan kadar segera.
Beliau menegaskan segala perkara yang menjadi kebimbangan awam termasuk berkaitan isu buli dan unsur perkauman mesti dipandang serius serta ditangani segera berasaskan fakta dan proses sewajarnya. – Bernama





