LAWAS: Beberapa projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk Parlimen Lawas akan dilaksana tahun ini.
Dua projek di Ba’kelalanmelibatkan pembinaan jalan masuk ke Kampung Puneng Berayong bernilai RM500,000 dan jalan masuk ke Kampung Long Sukang juga bernilai RM500,000 akan ditender tahun ini.
Timbalan Menteri KPLB, Dato Henry Sum Agong yang dihubungi menjelaskan bahawa banyak lagi projek pembangunan untuk Parlimen Lawas akan dilaksanakan tahun depan.
Bagi tahun ini untuk kawasan Bukit Sari, KPLB meluluskan pembinaan empat rumah menyalai ikan di Kampung Awat-awat bernilai RM50,000 setiap satu.
Sementara itu, rumah menyalai ikan di Kampung Punang pula diperuntukkan RM500,000 yang mana dibina berskala besar untuk kegunaan pengusaha ikan tahai di Kampung Punang.
Selain itu, KPLB juga melihat keperluan untuk mendapatkan peruntukan bagi membantu nelayan darat di Lawas untuk dibekalkan enjin sangkut.
Henry Sum yang juga Ahli Parlimen Lawas berharap agar kerajaan sedia ada terus dipertahankan untuk memastikan lebih banyak projek untuk rakyat dapat dilaksanakan.
“Kerajaan sebelum ini agak kurang memberi perhatian dalam aspek pembangunan kawasan luar bandar.
“Tetapi kita daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bekerjasama dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan melihat ini sebagai suatu keutamaan,” tambahnya.
Henry Sum juga menjelaskan beberapa projek lain di bawah KPLB akan dilaksana sebaik keadaan pandemik Covid-19 terkawal dan reda.
“Sekarang kita terpaksa menangguhkan projek pembinaan untuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Lawas berikutan bekalan banyak dari Sabah.
“Bahan binaan banyak yang tidak dapat dibawa dari Sabah,” jelasnya.
Bagi projek baik pulih rumah dibawah MARA akan diteruskan kerana banyak menggunakan bahan binaan yang boleh didapati di Lawas.
Justeru, beliau mahu agar rakyat terus bersama kerajaan dalam memastikan kestabilan politik terus terjamin.
Menurutnya, ia menjadi budaya wakil rakyat GPS mengutamakan Sarawak kerana Sarawak berhak untuk mendapat lebih perhatian dalam usaha mendekatkan jurang pembangunan antara wilayah di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Oleh Adeng Edrus