

DIALOG… Datuk Michael Tiang Ming Tee pada sesi dialog bersama pihak berkenaan di Sibu.
SIBU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak akan mengadakan perbincangan bersama Jawatankuasa Kerja Teknikal bagi melaksanakan sistem penyerahan pelan serentak bagi projek perumahan secara perintis. Inisiatif ini bertujuan mempercepatkan proses kelulusan pembangunan perumahan di negeri ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata langkah itu akan menjadikan prosedur lebih pantas dan efisien, sekali gus membolehkan pembeli rumah menikmati kediaman berkualiti dalam tempoh yang lebih singkat.
“Apabila kita bekerjasama untuk menjadikan proses ini lebih efisien, pemenang sebenar ialah rakyat, khususnya para pembeli rumah. Setiap penambahbaikan yang dilakukan hari ini membantu rakyat Sarawak memiliki rumah impian mereka dengan lebih cepat dan penuh keyakinan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Dialog Meningkatkan Kecekapan Prosedur Pembangunan Perumahan Demi Manfaat Pembeli Rumah di Sarawak yang dipengerusikannya di Sibu pada Khamis lalu.
Dialog berkenaan menghimpunkan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), Pihak Berkuasa Perancang Negeri (SPA), Jabatan Tanah dan Survei, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Majlis Perbandaran Sibu (MPS) serta beberapa badan profesional bagi membincangkan langkah memperkemas prosedur pembangunan perumahan di seluruh Sarawak.
Menurut Tiang, dialog tersebut antara lain bertujuan mengurangkan pertindihan proses, memendekkan tempoh kelulusan, serta meningkatkan penyelarasan antara agensi agar manfaatnya dapat dirasai terus oleh pembeli rumah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, usaha meningkatkan kecekapan prosedur bukan sekadar matlamat pentadbiran, tetapi satu komitmen terhadap perkhidmatan awam yang mencerminkan dasar perumahan berteraskan rakyat.
Dalam sesi dialog itu, katanya, para pemaju mencadangkan agar penyerahan pelan perancangan, bangunan dan kejuruteraan dapat dilakukan secara serentak bagi memendekkan tempoh projek, cadangan yang disambut baik oleh pihak berkuasa.
“Namun, kepentingan mengekalkan urutan pematuhan serta piawaian keselamatan teknikal tetap diberi keutamaan,” jelasnya.
Beliau berkata, pemaju turut bersetuju agar pindaan kecil dalam pelan bangunan diluluskan di peringkat bahagian bagi menjimatkan masa, manakala perubahan besar kekal di bawah kelulusan SPA.
“Perunding profesional pula berperanan memastikan pematuhan semasa pembinaan dijalankan. Pihak berkuasa berhak menahan sijil kemajuan kerja jika berlaku penyimpangan daripada pelan yang diluluskan, manakala majlis tempatan mengekalkan kuasa penguatkuasaan statutori,” katanya.
Selain itu, Tiang memaklumkan, pendekatan pelarasan berdasarkan kes demi kes turut dicadangkan bagi pembangunan lama yang menghadapi cabaran mendapatkan Permit Menduduki (Occupation Permit) atau hak milik strata, bagi memastikan pematuhan keselamatan dan melindungi kepentingan pembeli.
Beliau berkata, perbincangan bersama DID pula memberi tumpuan kepada kelulusan pelan perparitan dan perkongsian data tadahan, di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkukuh penyelarasan serta membangunkan pelan induk perparitan bagi menyokong pertumbuhan perumahan yang mampan dalam jangka panjang.
Oleh Tarani Lanting