
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama-sama agensi berkaitan sedang memperkukuh langkah kesiapsiagaan bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara susulan konflik geopolitik di Asia Barat serta cuaca panas ketika ini.
Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata tumpuan diberikan kepada pengurusan bekalan yang lebih cekap, pengukuhan rantaian agromakanan serta pelaksanaan langkah mitigasi bagi meminimumkan kesan faktor luaran terhadap pasaran dalam negara.
Beliau berkata ketidaktentuan landskap global berikutan konflik geopolitik di Asia Barat berpotensi menjejaskan rantaian bekalan global melalui peningkatan harga minyak dan kos logistik yang akhirnya mempengaruhi harga makanan.
“Dalam masa yang sama, negara turut berdepan dengan cabaran cuaca panas dan perubahan iklim yang boleh menjejaskan produktiviti sektor pertanian serta pengeluaran makanan domestik,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Selain itu, Mohamad memberikan jaminan bekalan makanan keperluan sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini kekal stabil dan mencukupi serta mampu diakses pada harga yang kompetitif.
Beliau berkata kejayaan tersebut hasil kerjasama bersepadu antara KPKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), agensi kerajaan serta pihak industri yang memastikan bekalan makanan negara terus mencukupi dan stabil.
“Kerajaan MADANI kekal komited untuk memastikan bekalan makanan negara mencukupi, stabil dan mampu diakses oleh rakyat dalam apa jua keadaan,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak termasuk pemain industri, petani, penternak serta pengguna untuk terus memainkan peranan masing-masing dalam memperkukuh sistem makanan negara agar kekal berdaya tahan dan mampan.
“Insya-Allah, dengan kesiapsiagaan dan kerjasama semua pihak, kita akan terus dapat melindungi keterjaminan makanan negara demi kesejahteraan rakyat,” katanya.- Bernama