LIMBANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu membantu dan memudahkan pihak pengangkut (transporter) untuk membawa masuk barang keperluan dari luar sama ada melalui Sabah dan Miri.
Ini adalah bagi memastikan segala bekalan keperluan dan makanan asas sentiasa terjamin dan berterusan.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, langkah itu penting agar segala kenderaan pengangkut barang keperluan ini tidak tersekat di sempadan susulan langkah kerajaan Brunei melaksana Perintah Bayaran Keluar dan Masuk 2020 selain perlu menjalani ujian makmal Covid-19 sebelum memasuki negara itu serta prosedur lain.
“Kita yakin dan berharap dengan adanya kolaborasi antara kerajaan negeri, pihak KPDNHEP dan pengangkut barang keperluan ini khususnya dalam isu (caj dan ujian Covid-19) oleh kerajaan Brunei tidak akan menjejaskan bekalan makanan asas dan keperluan lain di Limbang,” katanya pada Taklimat Isu-isu Semasa Peringkat Negeri di Rumah Intai Batu Danau petang tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, wakil Pengarah Penerangan Negeri, Aziz Abdul Rahman, wakil Pegawai Daerah Limbang Mohd. Hafiz Kipli, wakil Ketua Polis Daerah Limbang Inspektor AlRani Alipnor dan Tuai Rumah Intai Menuang.
Pada masa yang sama, ADUN Bukit Kota itu berharap pihak pengangkut terutama barang keperluan asas yang berurusan dengan kerajaan Brunei khususnya di sempadan agar membuat persediaan awal supaya bekalan tersebut tidak tersekat di sempadan.
“Kita perlu melihat dari sudut positif melalui pendekatan sebegini oleh Malaysia, Kerajaan Sarawak dan negara Brunei penambahan kes Covid-19 akan dapat ditangani dan peraturan atau prosedur yang ketat sebegini dijangka dapat dilonggarkan dalam sedikit masa apabila Covid-19 kembali pulih.
Selain itu, rakyat yang baharu balik dari Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Semenanjung Malaysia perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan Kerajaan Sarawak terutama mereka yang menjalani tempoh kuarantin di rumah.
“Kita mohon agar jangan pentingkan diri sendiri dan orang ramai perlu akur dengan nasihat daripada pihak berwajib, jangan keluar rumah sekiranya tidak perlu,” tambahnya.
Dr. Abdul Rahman juga memohon Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperbanyakkan kemudahan dan peranti ujian swab Covid-19 di Hospital Limbang selain mengurangkan bayaran ujian itu yang ditetapkan sebanyak RM150 yang disifatkan amat membebankan.
Pada masa sama katanya lagi penerbangan MASWings perlu menurunkan harga tambang dari Limbang ke Miri.
“Setakat ini tambang penerbangan Limbang ke Miri sebanyak RM166 (sehala) adalah mahal dan melampau kerana pada waktu ini ramai rakyat yang berdepan kesukaran,” tegasnya.
Oleh Adeng Edrus