Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • ​KPDN Sri Aman patahkan sindiket penyelewengan 7,200 liter diesel bersubsidi di Lubok Antu
  • Tengah
  • WILAYAH

​KPDN Sri Aman patahkan sindiket penyelewengan 7,200 liter diesel bersubsidi di Lubok Antu

Utusan Sarawak 4 hours ago
PEGAWAI KPDN Cawangan Sri Aman bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) menyita kira-kira 7,200 liter minyak diesel dalam operasi membanteras penyelewengan barang kawalan bersubsidi di Lubok Antu, hari ini.

​LUBOK ANTU: Cubaan menyeleweng minyak diesel bersubsidi di Lubok Antu terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sri Aman menerima satu kes serahan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 10 Sibu, hari ini.

Menurut kenyataan media KPDN Cawangan Sri Aman, kes berkenaan melibatkan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi yang dipercayai dilakukan melalui penyimpanan diesel dalam keadaan mencurigakan.

Susulan serahan tersebut, KPDN telah mengambil alih dan menyita semula beberapa eksibit utama yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.

Antara barangan yang dirampas ialah kira-kira 7,200 liter minyak diesel, sebuah tangki minyak mudah alik serta beberapa bekas penyimpanan bahan api berkenaan.

Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM24,356, sekali gus menunjukkan skala operasi yang dipercayai melibatkan kuantiti diesel yang besar.

PEGAWAI KPDN memeriksa sebahagian daripada rampasan yang terdiri daripada kira-kira 7,200 liter minyak diesel, sebuah tangki minyak mudah alih dan beberapa bekas penyimpanan bahan api.

KPDN Sri Aman kemudiannya membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah akan berlakunya kesalahan.

Pihak kementerian menegaskan bahawa jika sabit kesalahan, individu atau syarikat yang terlibat boleh dikenakan hukuman berat termasuk denda mencecah jutaan ringgit dan hukuman penjara mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Siasatan lanjut kini giat dijalankan bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam rangkaian pengedaran diesel tersebut, termasuk menjejaki sumber bekalan dan destinasi penghantaran bahan api berkenaan.

KPDN turut memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi kerana ia memberi kesan besar kepada ekonomi negara serta kebajikan rakyat.

Sehubungan itu, orang ramai diminta terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi melalui Portal eAduan KPDN, talian KPDN Sri Aman di 083-323836 atau WhatsApp Aduan Pengguna di 019-8488000 bagi membantu membanteras kegiatan haram tersebut hingga ke akar umbi.

Oleh Adi Safarman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: IPD Lawas anjur LDP tingkat kemahiran siasatan jenayah
Next: 200 penerima terima bantuan keperluan sempena Gawai Dayak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.