

MIRI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak mempergiat pemantauan harga barangan persekolahan menerusi pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dan OPS KESAN 5.0 Kembali Ke Sekolah.
Pengarah KPDN, Matthew Dominic Barin, berkata demikian ketika mengadakan lawatan turun padang sempena program berkenaan di pasar raya Everwin Pujut, di sini, hari ini.
Menurut beliau, PJRM Kembali ke Sekolah dilaksanakan secara bertema bermula 1 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026 sebagai langkah bersasar kerajaan bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.
“Program ini memberi tumpuan kepada keperluan sebenar persekolahan dengan penglibatan pembekal utama barangan persekolahan sebagai rakan strategik,” katanya.
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, KPDN Sarawak turut melaksanakan OPS KESAN 5.0 Kembali Ke Sekolah bermula semalam hingga 11 Januari 2026 melibatkan pemeriksaan di semua premis bandar dan luar bandar di seluruh Sarawak.
Setakat semalam, sebanyak empat Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) melibatkan 17 jenis barangan telah dibuka, khususnya berkaitan pakaian seragam dan peralatan sekolah.
Beliau menegaskan, peniaga yang didapati menaikkan harga secara tidak munasabah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Orang ramai digesa menjadi mata dan telinga KPDN dengan menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.
Oleh Liong Chai Ling