
BAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempergiat penguatkuasaan larangan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan asing serta had pengisian diesel bersubsidi yang berkuat kuasa 1 April 2026 menerusi sesi turun padang di Stesen Minyak Petronas Tasik Biru, di sini, hari ini.
Sesi berkenaan diketuai Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, bagi meninjau tahap pematuhan pengusaha stesen minyak terhadap pelaksanaan peraturan baharu itu, khususnya di kawasan berhampiran sempadan.
Menurut beliau, langkah tersebut merupakan antara usaha tegas kerajaan bagi membanteras ketirisan subsidi serta aktiviti penyeludupan bahan api yang memberi kesan kepada bekalan dalam negara.

“Larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing dilaksanakan serta-merta, manakala penggunaan kad kredit dan debit asing di terminal layan diri turut disekat secara berperingkat,” katanya ketika ditemui selepas sesi turun padang itu.
Beliau menegaskan, penguatkuasaan berkenaan penting bagi memastikan bekalan RON95 kekal mencukupi untuk kegunaan rakyat tempatan, selain menutup ruang manipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Dalam perkembangan sama, KPDN turut menguatkuasakan had pengisian diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan mengikut kategori kenderaan.
Bagi kenderaan ringan seperti kereta persendirian, teksi, van dan kenderaan pacuan empat roda (4×4), had ditetapkan sebanyak 50 liter bagi setiap transaksi. Kenderaan komersial dan barangan dengan berat tidak melebihi tiga tan pula dihadkan kepada 100 liter, manakala kenderaan berat melebihi tiga tan dibenarkan sehingga maksimum 150 liter.

Tambahnya, KPDN akan terus memperhebat pemantauan dan pemeriksaan di stesen minyak, terutama di lokasi strategik, bagi memastikan pematuhan penuh terhadap peraturan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua pengusaha stesen minyak agar memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan pelaksanaan dasar tersebut demi menjamin kestabilan bekalan tenaga negara.
Langkah berkenaan selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan subsidi bahan api dinikmati sepenuhnya oleh rakyat serta mengelakkan ketirisan dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu.
Oleh Norman B