
SIMANGGANG: Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pegawai dan anggota atas komitmen serta disiplin tinggi yang ditunjukkan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab demi keselamatan negara.
Menurut beliau, dedikasi berterusan warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman menjadi tonggak utama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepolisan yang berkesan serta diyakini masyarakat.
Usaha kolektif ini, katanya, selari dengan aspirasi kerajaan untuk mengekalkan kesejahteraan dan ketenteraman awam.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperkasakan integriti dalam kalangan pegawai dan anggota, di samping memberi fokus kepada peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan serta mendukung dasar dan inisiatif kerajaan demi kepentingan rakyat.
Dalam pada itu, Superintenden Dennis merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua pegawai dan anggota yang telah dinaikkan pangkat serta menerima sijil penghargaan, sambil menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai suntikan motivasi untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Sri Aman yang berlangsung di Padang Kawad IPD Sri Aman, hari ini.
Pada majlis berkenaan, Ketua Polis Daerah Sri Aman turut menyempurnakan penyematan pangkat daripada Koperal ke Sarjan secara Time Based berasaskan Kecemerlangan (TBK) kepada dua Pegawai Rendah Polis (PRP), selain menyampaikan sijil penghargaan kepada 23 PRP dan lapan Pegawai Awam IPD Sri Aman.
Atur cara perhimpunan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku dan Sang Saka Biru, diikuti bacaan doa yang dipimpin oleh Ammar Husaini dari Cawangan BAKA IPD Sri Aman, serta lafaz ikrar Rukun Negara, Ikrar Dadah dan Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh ASP Terrence Philip.
Turut hadir memeriahkan perhimpunan ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Neil Beginda, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua polis balai serta seluruh warga IPD Sri Aman.
Oleh Adi Safarman