
KUALA LUMPUR: Datuk Abdul Halim Hamzah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi berkuat kuasa 24 November 2025.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Abdul Halim, 54, sebelum ini mengetuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai Ketua Pengarah.
“Dengan pengalaman kepimpinan yang luas serta rekod perkhidmatan yang cemerlang, saya yakin beliau mampu memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan dan terus memberi sumbangan kepada kesejahteraan serta kemakmuran negara,” kata Shamsul Azri.
Beliau juga merupakan graduan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia.
Sepanjang hampir tiga dekad dalam perkhidmatan awam, Abdul Halim pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatan, bermula sebagai Penolong Pengarah di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
Dalam kenyataan sama, Shamsul Azri turut memaklumkan bahawa Meor Ismail Meor Akim dilantik sebagai Ketua Pengarah NADMA yang baharu, berkuat kuasa pada tarikh yang sama.
Untuk rekod, jawatan itu sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Muhammad Fauzi Md Isa.