Oleh Abu Adil
BAU tanah merah di tangan Afira minggu lepas masih lagi menyucuk hidung, lalu menghantar rindu di ingatan. Sudah habis takungan air matanya yang turut berduka atas pemergian ibu bapanya seminggu lalu. ‘Hidup perlulah diteruskan’ persis mantera yang sering didengarnya dari ahli keluarga, rakan-rakan dan saudara mara. Dirinya sudah kalis dengan ucapan takziah. Hatinya pula masih tercari-cari sisa bahagia untuk menghadapi kehidupan.
Kereta Axia putih meluncur laju di jalan raya menuju ke SMK Baiduri. Afira perlu kembali ke asrama sekolah tersebut untuk meneruskan pengajiannya sebagai pelajar tingkatan empat. Dirinya yang kelihatan kosong terus bergegas mengangkat barang-barang dan bersalaman dengan ibu saudaranya sebelum menuju ke bilik asrama.
“Hai semua…!” kata Afira sebaik sahaja melangkah masuk ke kamarnya yang berlantaikan jubin itu. Ukiran senyumannya sangat lebar. Lapan orang ahli kamarnya mendekati lalu Qistina, lalu penghuni katil sebelahnya bersuara.
“Kau OK?”
“Ya, aku OK, sihat dan masih waras,” kata Afira lalu ketawa kecil. Rakan-rakanya yang lain lalu memeluk Afira dan mengucapkan salam takziah kepadanya. Afira terharu kerana mempunyai rakan sekamar yang mengambil berat tentang dirinya.
Selepas murid-murid selesai minum malam di dewan makan, ahli Kamar 2 Lawas selalunya akan membuka bekas makanan dan lauk dari rumah masing-masing untuk dikongsi bersama. Keluarlah haruman lauk-pauk seperti pucuk ubi masak lemak, ayam goreng, sayur midin goreng dan sayur campur. Sambil menikmati makanan, Afira seperti biasa, masih kekal dengan lawak dan sikapnya yang ceria walaupun baru sahaja kehilangan orang tua tercinta.
Ketukan pintu kedengaran, segera mereka membuka pintu.
“Wah, ada makan-makan! Assalamualaikum,” terjah Cikgu Rosnah, salah seorang warden asrama puteri.
“Cikgu, silalah kalau nak, jemput-jemput,” seloroh Afira diikuti gelak tawa rakan-rakan sebiliknya. Cikgu Rosnah pun masuk menuju ke arah mereka lalu mengambil sekeping keropok rempeyek. Kakinya terus melangkah mengelilingi bilik itu.
“Bagus, kamar bersih, nanti pukul 11 malam, tutup lampu ya, terima kasih, keropok rempeyek ini sedap,” katanya sambil melambai ke arah penghuni kamar tersebut yang berjumlah lapan orang.
Tepat jam 11, ruang tengah kamar yang tadi dipenuhi makanan telah dikemas semula. Lampu kamar ditutup dan semua ahlinya mula diberatkan mata kerana kekenyangan.
*****
Seawal jam 5 pagi lagi, murid-murid asrama SMK Baiduri mula bangkit dari lena untuk menunaikan solat Subuh dan sarapan pagi, sebelum menyambung rutin di padang perhimpunan hingga jam 7 pagi.
Sudah menjadi rutin Afira membacakan surah al-Fatihah, sebuah surah ajaib untuk disedekahkan pahalanya kepada kedua ibu bapanya yang telah berehat di alam sebelah sana.
“Nabi Muhammad SAW kata, amalan orang yang dah tak ada akan terputus kecuali ada doa dari anak yang soleh, ilmu yang dimanfaatkan dan sedekah jariah, sedekah yang memberi kebaikan berterusan, jadi doalah emak dan abah selalu, ya,” kata Mak Cik Zaleha usai pengebumian ibu bapanya minggu lepas. Masih diingat. Tapi doa itu sekadar dibaca, tidak terlalu dihayati. Dia masih merasakan perkara yang sama, keliru dan kosong hatinya.
‘Baca atau tak baca, macam sama sahaja aku rasa,’ bicara dirinya.
Sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung seperti biasa. Kedengaran bunyi loceng untuk memotong waktu guru mengajar, gelak tawa warga sekolah dan keriuhan murid-murid kedengaran. Waktu rehat kini sedang berlangsung.
Afira pula masih kekal di dalam kelas. Tidak seperti seminggu yang lalu, gembira hatinya menunggu tiba waktu rehat hilang ditiup angin kesedihan yang melanda dirinya. Dia hanya membuang pandangan kosong ke papan putih di hadapan kelas. Kotak bahagianya kosong, dirompak oleh kedukaan yang berbekas.
Qistina yang baru sahaja keluar dari kelas sebelah segera berjumpa dengannya. Dia terkejut melihat Afira hanya duduk kaku di dalam kelas. Dia pun segera mematahkan lamunan Afira.
“Hoi, kau OK kah ini?” soal Qistina.
“Ya, baik sahaja, cuma tak ada rasa nak makan, jom kita ke perpustakaan,” ucap Afira yang cuba berdalih mengenai dirinya sendiri.
Rakan kesayangannya itu memberikan sebungkus roti berintikan mentega yang disediakan oleh pihak dewan makan kepada Afira. Dia bersyukur dikurniakan rakan yang prihatin dengan keadaan yang menimpanya.
Pintu perpustakaan dibuka. Kesejukan udara perpustakaan sekolah membuatkan Afira dan Qistina seringkali bertandang ke sana sambil memilih bahan bacaan yang menarik secara rawak.
Tangannya tiba-tiba dilorongkan ke arah sebuah buku berbahasa Inggeris bertajuk ‘Oujia Board 101’yang ditulis oleh Nicholas Hawthorn. Afira memutar buku kelabu tersebut ke belakang untuk membaca sinopsisnya. Lama dia merenung ke dalam sinopsis itu sambil menterjemah perkataan-perkataan bahasa Inggeris yang tertera.
“Permainan Oujia boleh diguna untuk berkomunikasi dengan yang tersayang yang telah pergi ke alam lain,”
Dia meneruskan bacaan buku tersebut untuk beberapa muka surat terawal. Fokusnya membaca buku tersebut mengalahkan fokusnya jika membaca buku teks Sejarah di dalam kelas.
‘Kringgg’
Bunyi loceng sekolah telah mematikan bacaan Afira yang lantas membawa buku tersebut ke kaunter perpustakaan untuk dipinjam. Pustakawan yang bertugas, segera menulis beberapa butiran sebelum menyerahkan buku itu semula kepadanya.
Afira dan Qistina pun bergegas menuju ke kelas masing-masing sebelum guru mata pelajaran masuk.
*****
Minggu tersebut merupakan bukan minggu balik bermalam dalam takwim sekolah. Semua murid asrama tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Jam 2 petang hari Jumaat merupakan waktu keemasan bagi pelajar asrama untuk melepaskan lelah seminggu tersebut dengan tidur hinggalah menjelang waktu Asar.
“Hoi, jom tidur sekejap, dari tadi asyik baca buku, aku tengok kau pun mengantuk lah,” jerkah Qistina.
“Tidurlah kau, sikit saja lagi buku ini 62 muka surat sahaja, lepas ni aku tidur,” kata Afira pula sambil matanya masih tergantung pada kata-kata dalam buku itu.
Usai sahaja habis membaca buku tersebut, Afira tersenyum lalu menutup kelopak matanya untuk menghadirkan diri di alam mimpi.
*****
Hari Sabtu dan Ahad merupakan selang waktu lapang untuk warga sekolah berehat. Sabtu malam itu, ahli Kamar 2 Lawas berkongsi kisah-kisah seram yang mereka ada. Ada cerita dari pengalaman sendiri atau dengar cerita dari kakak senior dan para guru yang selalunya turun-temurun. Hantu murid yang mati dalam almari asrama, hantu yang mengira murid yang belum tidur, serta hantu tentera Jepun tanpa kepala adalah antara yang kerap didengar, namun tidak pernah jemu. Ada pula antara mereka yang berharap untuk dipertemukan dengan makhluk-makhluk halus tersebut pula.
Seperti rutin harian, lampu kamar harus dipadamkan tepat jam 11 malam. Semua ahli kamar mula melayan hal masing-masing seperti mengemas almari menggunakan lampu kecil atau lebih mudah, tidur sahaja.
“Qis, nanti teman aku, lebih kurang jam 2 pagi, kita main satu permainan,” kata Afira.
“Eh gila permainan apa yang sampai perlu main jam 2 pagi! Baik tidur saja,” sanggah pula Qistina, menolak pelawaan rakannya itu.
“Adalah, mari aku cerita,” balasnya pula. Qistina pula segera menuju ke katil Afira lalu mereka berdua berbisik-bisik.
*****
Sebuah kertas bersaiz A3, kertas yang sering digunakan untuk kelas pendidikan seni visual terbentang di hadapan. Tertera di kertas itu ialah turutan nombor 0 hingga 9, huruf A sehingga Z, perkataan ‘YES’ dan ‘NO’, serta perkataan ‘GOOD BYE’ dan ‘HELLO’ dengan dakwat berwarna hitam.
Qistina diam membatu di sebelah Afira yang dari tadi bersiap sedia untuk bermain permainan tersebut.
Sekeping syiling 50 sen diletakkan olehnya di tengah kertas tersebut.
“Letaklah tangan atas tangan aku,” arah Afira.
Qistina akur. Mereka berdua mengambil nafas dalam-dalam sebelum menghembusnya.
“Ingat, apa-apa hal, jari jangan lari dari syiling ini,” terang Afira lagi.
Mereka kini hanya disuluh oleh lampu koridor yang dihadkan keamatannya oleh langsir berwarna ungu di dalam bilik itu. Kelam dan sejuk.
“Mak? Abah? Ada kah di sini dengan kami.”
Ayat tersebut diulang sebanyak dua kali. Hanya bunyi kipas yang kedengaran. Qistina mula berasa gerun. Lagak Afira seperti orang gila apabila bercakap, menyeru benda yang tidak ada. Tapi, harapan Afira di sebelahnya masih tinggi. Ayat itu sekali lagi diulang dengan esakan dan air mata Afira yang mula tumpah.
Dengan izin Tuhan, duit syiling 50 sen itu bergerak sendiri menuju ke arah perkataan ‘HELLO’. Qistina kagum bercampur seram. Afira pula terus terharu melihat komunikasi itu benar-benar berlaku!
“Fira rindu dengan mak, dengan abah, emak dan abah rindu Fira tak?”
Duit syiling itu sekali lagi bergerak, kali ini menuju ke arah perkataan ‘YES’.
Entah. Qistina hanya mengikut sahaja daya yang dikenakan atas tangan Afira itu. Pada masa yang sama, dia juga meremang melihatkan orang mati boleh berkomunikasi semula. “Mungkin ini caranya untuk Afira melepas rindu kepada ibu bapanya,” katanya dalam hati. Matanya terus melihat ke sekeliling.
“Fira nak peluk mak dengan abah, bolehkan?”
Diam.
“Mak dan abah muncullah, peluklah Fira.”
Suasana secara tiba-tiba menjadi gelap gelita. Mereka berdua tetap kekal di tempat masing-masing, cuba untuk tidak melanggar pantang larang permainan itu. Pintu Kamar 2 Lawas dibuka. Kelihatan sesusuk hitam berdiri di hadapan pintu lalu masuk ke kamar. Kini, makhluk hitam itu berdiri betul-betul di belakang mereka berdua! Jantung pun berdegup kencang seperti mereka telah berlumba lari 100 meter.
“Belum tidur lagi?” kata suara tersebut. Mereka berdua kini sangat gementar. Adakah ini hantu? Mungkinkah roh lain yang mereka berkomunikasi? Adakah mereka akan menerima malapetaka akibat melanggar pantang larang permainan ini?
Lampu kalimantang dalam bilik dibuka. Rupanya Cikgu Rosnah yang sedang menggunakan telekung berwarna ungu gelap cuba mengejutkan mereka.
“Kamu berdua ikut saya pergi ke bilik bacaan dekat bawah, bawa benda-benda itu sekali, yang lain sambung tidur!” arahnya dengan nada tegas.
Berderau darah mereka berdua mendengar arahan Cikgu Rosnah itu, bimbang mereka dimarahi dan dikenakan tindakan disiplin olehnya. Denyut jantung sungguh tidak keruan. Perasaan bersalah mula bermain di hati mereka.
“Kamu berdua tahu tak yang perbuatan ini sangat salah di sisi agama…” kata Cikgu Rosnah lalu percakapannya dipotong oleh Afira.
“Apa salahnya saya nak bercakap dengan emak dan abah saya? Itupun agama larang kah? Tuhan faham kah perasaan saya! Kalau salah di sisi agama pun nantilah saya bertaubat sungguh-sungguh,” terangnya lalu menangis teresak-esak. Cikgu Rosnah lalu beristighfar. Suasana pula diam sebentar. Hanya bunyi cengkerik dan katak menwarnai kesunyian malam itu.
“Saya rindu sangat arwah emak dan abah, rindu nak tengok muka, nak peluk nak salam tangan mereka. Saya tak sempat. Cikgu pun tak akan faham perasaan saya.”
Pada hari kejadian, khabar ibu bapanya meninggal dunia akibat kemalangan kereta itu disampaikan di akhir peperiksaan sekolah untuk tidak mengganggu fokusnya. Apakan daya, sesampai saja di rumah, mayat kedua-dua ibu bapanya telah dikuburkan awal tanpa sempat mencium dan menatap wajah buat kali terakhir. Geram dan sedih saja perasaanya pada waktu itu. Mahu membunuh diri kerana terlalu berduka meratapi pemergian tanpa selamat tinggal. Mujur masih tersisa sedikit tali keimanannya, menarik dirinya dari menjadi ahli neraka segera.
Suasana menjadi bungkam. Cikgu Rosnah membiarkan Afira tenggelam dalam perasaan sebaknya itu. Qistina pula cuba menenangkannya.
“Afira, terang-terang cikgu cakap, benda ini memang tak akan mampu membuatkan kamu berjumpa dengan ibu bapa kamu. Malah, mungkin arwah ibu bapa kamu kecewa, melihat anaknya yang soleh, cuba perkara yang ditegah dalam agama. Benda ini syirik, boleh memesongkan akidah kamu,” terang Cikgu Rosnah lagi. Afira terdiam sambil mengesat sisa air mata di pipi.
“Habis tu cikgu, ada cara lain kah nak berjumpa dengan mereka? Cara yang lebih baik?”
“Ya, ada. Kamu harus berdoa kepada Allah, doa supaya roh ibu bapa kamu dijauhkan dari azab kubur dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Doa anak terhadap ibu bapanya boleh menggembirakan dan menghilangkan kesunyian mereka di alam sana.”
Afira memeluk Cikgu Rosnah.
“Agama tidak pernah melarang penganutnya untuk berduka atas kematian orang tersayang, tapi perlulah menyatakan duka itu melalui kaedah yang dianjurkan agama,” terangnya lagi
“Terima kasih cikgu, cikgu pun tolong doakan saya ya,” katanya.
“Afira, permainan itu bukankah kau kata perlu dihabiskan?” soal pula Qistina yang masih bimbang mereka melanggar pantang larang yang boleh membawa malapetaka kata buku tersebut.
“Tak payah habiskan. Benda itu memang mengarut. Tak perlulah terikut-ikut budaya barat yang cetek asas kebenarannya. Baik kamu tidur sampai subuh esok lagi seronok,” terang Cikgu Rosnah.
Afira dan Qistina pun masuk semula ke bilik untuk tidur kerana malam masih sangat muda.
*****
Afira bingkas bangkit selepas solat Zohor secara berjemaah di surau sekolah. Murid-murid lain mula bergegas pulang ke asrama selepas solat, untuk menghabiskan sisa-sisa hujung minggu mereka dengan berehat. Cikgu Rosnah yang turut juga menyertai solat Zohor berjemaah itu, ralit memerhati Afira yang tampak menunaikan solat sunat hajat. Usai Afira menyelesaikan urusan dengan Tuhan, Cikgu Rosnah mula mendekatinya.
“Alhamdulillah Afira, kamu dah OK kan?”
“OK saja, cikgu, tadi saya dah doakan ibu bapa saya, semoga mereka tenang dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.”
“Baguslah kalau begitu, cikgu yakin ibu bapa kamu pasti bangga dan gembira dengan kamu, semoga doa yang kamu panjatkan itu dapat menemani ibu dan ayah kamu di alam kubur yang penuh kesunyian.”
Kehidupan Afira mula beransur-ansur pulih dari parut duka yang telah merentap hati. Doa-doa telah merawat luka-luka di hatinya. Tuhan pula mula memberikan semula kotak bahagianya yang hilang minggu lalu, yang diikat dengan reben rindu.