
PETRA JAYA: Kos pembinaan projek tiang bendera gergasi di Dataran Ibu Pertiwi bukan hanya melibatkan struktur tiang semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pembangunan kawasan sekitarnya termasuk dataran, laluan serta kemudahan landskap di lokasi tersebut.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata, pembinaan projek itu juga memerlukan kaedah teknikal khusus bagi memastikan struktur bersejarah berhampiran iaitu Kubu Margherita tidak terjejas.
Menurutnya, sistem cerucuk khas digunakan bagi mengelakkan sebarang gegaran yang boleh menjejaskan struktur bangunan bersejarah berkenaan.
“Kita dimaklumkan oleh Jabatan Muzium serta Kementerian Pelancongan bahawa Fort Margherita dibina menggunakan bahan lama dan tidak begitu kukuh, jadi sebarang gegaran di kawasan berhampiran boleh memberi kesan kepada strukturnya.
“Justeru kita tidak menggunakan cerucuk biasa, sebaliknya menggunakan banyak cerucuk mikro (micro-piling) bagi mengurangkan gegaran dan melindungi struktur Fort Margherita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Gedung Jualan Raya di Jumaani Pavilion di sini, hari ini.
Abdul Rahman berkata, idea pembinaan tiang bendera gergasi itu merupakan cetusan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi mewujudkan satu struktur ikonik yang dapat menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Sarawak.
Menurutnya, tiang bendera tersebut didirikan setinggi 99.4 meter di Dataran Ibu Pertiwi berhampiran Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
“Pada peringkat awal kita mencadangkan ketinggian sekitar 120 hingga 150 meter, namun selepas mengambil kira ketinggian puncak tertinggi Bangunan DUN, kita memutuskan untuk menetapkan ketinggian 99.4 meter supaya tidak melebihi bangunan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, projek berkenaan juga dilaksanakan dengan sokongan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada tiga syarikat minyak iaitu Petros, Petronas dan Shell.
Tambahnya, kos projek itu turut melibatkan pembinaan Dataran Ibu Pertiwi yang menghubungkan kawasan tapak tiang bendera dengan Fort Margherita serta laluan ke air pancut bertingkat yang turut dibangunkan di kawasan tersebut.
“Jadi kos yang disebut bukan hanya untuk tiang bendera sahaja, tetapi termasuk pembangunan kawasan dataran yang kini menjadi ruang awam untuk orang ramai bersiar-siar, bergambar dan bersantai.
“Malah saya sendiri melihat kawasan tersebut kini menjadi lokasi pilihan warga kota Kuching untuk berbuka puasa kerana pemandangannya yang menarik,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa sistem pengendalian bendera di tiang tersebut juga menggunakan mekanisme khas termasuk penggunaan kren dan mesin bagi menaikkan bendera yang beratnya boleh mencecah antara satu hingga dua tan.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata perbandingan kos projek tersebut dengan projek tiang bendera di negeri lain tidak wajar kerana skop pembinaannya adalah berbeza.
Beliau berkata demikian ketika mengulas persoalan orang ramai berkenaan perbezaan kos antara projek tiang bendera di Sarawak dan Selangor.
Menurutnya, projek di Sarawak melibatkan pembangunan kawasan dataran serta struktur sokongan lain, berbeza dengan projek di Selangor yang hanya melibatkan pembinaan tiang bendera sahaja.
“Kalau kita melihat keseluruhan projek di Dataran Ibu Pertiwi, ia melibatkan pembangunan kawasan landskap, laluan serta kemudahan awam yang turut menyumbang kepada kos keseluruhan projek tersebut,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat