Korea Selatan siasat warga asing miliki banyak rumah

Facebook
WhatsApp
PRESIDEN, Moon Jae-in.

SEJONG: Pihak berkuasa cukai Korea Selatan melancarkan siasatan terhadap 42 warga asing yang memiliki rumah yang banyak di negara itu, di tengah-tengah usaha untuk mengekang harga kediaman di Seoul dan kawasan sekitar. 

Menurut Perkhidmatan Cukai Kebangsaan (NTS), seorang warga Amerika Syarikat (AS) membeli sebanyak 40 buah rumah dengan harga 6.7 bilion won (US$5.6 juta) sejak 2018, lapor Agensi Berita Yonhap. 

Laporan berkenaan mendedahkan warga AS itu menyewa rumah yang dibelinya untuk mengumpulkan wang, tetapi tidak mengisytiharkan pendapatan untuk mengelak daripada membayar cukai. 

Dalam kes berasingan, seorang rakyat China yang mempunyai visa pelajar, membeli lapan rumah, juga tidak mengisytiharkan pendapatan sewa yang diperolehnya. 

Antara 2017 dan Mei tahun ini, seramai 1,036 warga asing didapati membeli lebih dua rumah di Korea Selatan. 

Menurut TNS, daripada 23,167 kediaman yang dibeli rakyat asing dalam tempoh itu, 32.7 peratus tidak diduduki pemilik. 

Alasan mereka tidak tinggal di rumah yang dibeli disebabkan “permintaan spekulatif”, tambah NTS.

Walaupun kerajaan banyak membuat pengumuman mengenai dasar pasaran harta tanah baharu, harga, khususnya pangsapuri, terus melambung tinggi, didorong  kadar faedah sangat rendah dan kecairan berlebihan.

Presiden Moon Jae-in berkata beliau akan menggunakan semua langkah yang ada untuk memerangi spekulasi harta tanah dan kenaikan harga rumah, terutama di sekitar wilayah Seoul- Bernama

BMW bakal kurangkan 8,000 pekerja

BRUSSELS: Pengeluar kenderaan Jerman, BMW, akan mengurangkan kira-kira 8,000 pekerja dan kebanyakannya di Jerman, sebagai sebahagian daripada program pengurangan kos

Amaran gelombang haba di Seoul

SEOUL: Agensi cuaca negeri mengeluarkan amaran gelombang haba bagi kebanyakan kawasan di Seoul pada Rabu, iaitu amaran kedua bagi ibu negara