
SEOUL: Korea Selatan hari ini mengesahkan kes keenam Demam Babi Afrika (ASF) di negara itu tahun ini, yang mendorong pihak berkuasa mempertingkatkan langkah kawalan di seluruh negara, lapor Agensi Berita Yonhap.
Kes terbaharu dikesan di sebuah ladang babi di Boryeong, sekitar 138 kilometer ke selatan Seoul, yang memelihara sekitar 3,500 ekor babi, menurut Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar.
Kerajaan sedang mengambil langkah perlu untuk mencegah penyebaran virus tersebut dan merancang untuk melupuskan babi yang dijangkiti. Pihak berkuasa juga mengeluarkan perintah sekatan pergerakan terhadap semua ladang babi serta kemudahan berkaitan di dalam dan sekitar Boryeong, yang berkuat kuasa sehingga Rabu, 6.00 petang.
Negara tersebut mengesahkan kes ASF pertama tahun ini pada awal bulan ini di bandar Gangneung di bahagian timur selepas terhenti selama dua bulan, diikuti oleh dua kes tambahan pada minggu lepas di Anseong dan Pocheon, kedua-duanya di Wilayah Gyeonggi.
ASF tidak menjangkiti manusia tetapi membawa maut kepada babi, dan setakat ini tiada vaksin atau ubat untuk penyakit berkenaan.- Bernama-Yonhap