KOREA Selatan melaporkan sejumlah 166,207 kes Covid-19 semalam. • Foto AFP
SEOUL: Korea Selatan berhadapan hari paling sukar sejak pandemik Covid-19 apabila sebanyak 112 kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam semalam, ketika negara itu berhadapan lonjakan jangkitan varian Omicron.
Pihak berkuasa kesihatan melaporkan bahawa terdapat 643 pesakit dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal dan jumlah itu meningkat berbanding 408 pesakit seminggu sebelumnya.
Lonjakan kes di Korea Selatan, yang kini antara yang terburuk di dunia, meningkat sejak minggu lalu, mencatatkan 171,452 kes dalam sehari pada Rabu lalu.
Sejak itu, jumlah kes yang direkodkan terus meningkat yang mana sebanyak 166,207 kes dilaporkan semalam.
Korea Selatan, yang mempunyai kira-kira 50 juta penduduk kini dilaporkan mencatatkan kes jangkitan yang tinggi setiap hari berbanding Amerika Syarikat, satu perkembangan yang sukar untuk dibayangkan.
Kira-kira 86 peratus rakyat Korea Selatan sudah pun menerima vaksin lengkap sepenuhnya, namun menurut Our World in Data, negara itu merekodkan peningkatan sebanyak 201 peratus dalam jumlah purata kes harian sejak dua minggu lalu.
Menurut pegawai kanan kesihatan, Lee Ki-il, dalam satu taklimat Jumaat lalu, kerajaan merancang menambah katil di hospital pada Mac ini.
Beliau menambah bahawa kerajaan dan komuniti perubatan melakukan yang terbaik untuk ‘tidak memberikan kesulitan kepada orang ramai’.
Beliau berkata, Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea bersedia menerima dan merawat sehingga 2,000 pesakit yang mempunyai kes teruk akibat Covid-19.
Kerajaan kini memberi tumpuan mengesan dan merawat kumpulan berisiko tinggi – mereka yang berumur 60-an dan ke atas, serta orang yang mempunyai sejarah perubatan sedia ada – dan menumpukan rawatan kes yang paling kritikal.
Majoriti orang yang disahkan positif tetapi tidak kritikal kini menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing.
Langkah itu adalah sebahagian daripada pendekatan baharu kerajaan Korea Selatan untuk belajar menyesuaikan diri hidup dengan virus itu.
Mulai Mac, mereka yang tinggal bersama orang yang telah diuji positif tidak lagi perlu dikuarantin, tanpa mengira status vaksinasi mereka.
Sebelum ini, orang yang tidak divaksin dikehendaki menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari jika ada isi rumah mereka disahkan positif. – AFP