KOREA SELATAN menempah tempat tiket ke Piala Dunia di Qatar semalam selepas skuad kendalian Paulo Bento menewaskan Syria 2-0 di Dubai seterusnya mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir buat kali ke-10 berturut-turut.
Gol babak kedua Kim Jin-su dan Kwon Chang-hoon memastikan Korea meneruskan kemenangan dalam kelayakan sejak Mexico pada 1986 apabila melengkapkan dua kedudukan teratas Kumpulan A kelayakan Asia.
Korea Selatan mengiringi Iran yang mengesahkan tempat ke pusingan akhir November ini selepas skuad kendalian Dragan Skocic layak ke Qatar Khamis lalu.
Hanya dua pasukan teratas daripada setiap dua kumpulan kelayakan Asia boleh mendapat tempat secara automatik manakala pasukan ketiga akan berdepan lawan Amerika Selatan dalam pertembungan playoff antara benua.
Iran menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 1-0 menerusi gol Mehdi Taremi untuk kekal di persada Kumpulan A manakala skuad kendalian Bert van Marwijk ketiga dengan sembilan mata.
Skuad Van Marwijk tiga mata di depan Lubnan yang seri 1-1 berdepan Iraq di Sidon.
Sementara itu, Jepun semakin hampir ke pusingan akhir selepas menang 2-0 mengatasi pendahulu Kumpulan B, Arab Saudi di Stadium Saitama yang membawa skuad kendalian Hajime Moriyasu hanya satu mata untuk ke puncak.
Harapan Australia untuk layak secara automatik berdepan masalah apabila penalti lewat Abdullah Fawaz membantu Oman seri 2-2 berdepan skuad kendalian Graham Arnold di Muscat.
Australia kekal di tangga ketiga Kumpulan B tetapi empat mata di belakang Arab Saudi dan tiga di belakang Jepun.
Mereka masih ada pertemuan dengan dua pasukan teratas itu pada dua pusingan akhir kelayakan pada Mac depan.-AFP