YANGON: Kematian akibat banjir besar di Myanmar susulan Taufan Yagi meningkat dua kali ganda kepada 226, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran seramai 630,000 orang mungkin memerlukan bantuan.
Yagi melanda utara Vietnam, Laos, Thailand dan Myanmar lebih seminggu lalu dengan angin kencang dan jumlah hujan yang besar, mencetuskan banjir serta tanah runtuh yang mengorbankan lebih 500 orang, menurut angka rasmi.
TV kerajaan di Myanmar yang diperintah junta tentera mengesahkan 226 kematian lewat Isnin, dengan 77 orang masih hilang, menggandakan angka sebelumnya iaitu 113 mangsa.
Penyiar itu juga berkata bahawa hampir 260,000 hektar sawah dan tanaman lain telah musnah akibat banjir.
Agensi tindak balas bencana Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UNOCHA) berkata, dianggarkan 631,000 orang terjejas akibat banjir di seluruh Myanmar.
Makanan, air minuman, tempat tinggal dan pakaian semuanya diperlukan segera, kata UNOCHA, sambil memberi amaran bahawa talian perhubungan yang terputus, jalan terhalang dan jambatan rosak semuanya sangat menghalang usaha bantuan.
Komunikasi yang lemah, terutama di kawasan terpencil, bermakna maklumat mengenai mangsa lambat dikeluarkan.
Program Makanan Sedunia (WFP) PBB pada Isnin berkata banjir kali ini adalah yang terburuk dalam sejarah Myanmar baru-baru ini, tanpa memberikan butiran yang tepat.
Junta tentera membuat rayuan yang jarang dilakukan untuk bantuan asing pada hujung minggu, dengan negara jiran, India, menghantar 10 tan bantuan, termasuk makanan kering, pakaian dan ubat, tetapi UNOCHA berkata lebih banyak sumber diperlukan segera.
Yagi menyebabkan 10 kematian di Thailand dan satu di Laos manakala di Vietnam, angka kematian meningkat kepada 292 orang, dengan 38 hilang, lebih 230,000 rumah rosak dan 280,000 hektar tanaman musnah, menurut pihak berkuasa.
Yagi, taufan terkuat yang melanda utara Vietnam sejak beberapa dekad lalu, turut membadai delta Sungai Merah yang berpenduduk padat.
Wilayah pertanian penting yang turut menempatkan hab pembuatan utama – banyak kilang dan infrastruktur rosak selain sebahagian besar tanah ladang ditenggelami air.
Taufan itu menyebabkan anggaran 40 trilion dong (RM6.85 bilion) kerugian ekonomi, lapor media kerajaan, memetik penilaian awal kerajaan. – AFP