
KUALA LUMPUR: Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) mengumumkan pengagihan dividen bagi tahun 2024 sebanyak 5.8 peratus atas modal yuran dan 9.2 peratus atas modal syer saham kepada ahli, dengan jumlah agihan keseluruhan berjumlah RM36.14 juta.
Yang Dipertua KPDRM merangkap Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pengagihan itu menunjukkan peningkatan 0.3 peratus bagi modal yuran dan 2.2 peratus bagi modal syer berbanding tahun sebelumnya.
“Sepanjang 97 tahun usia koperasi, inilah julung-julung kalinya, pemberian dividen sangat lumayan diagihkan kepada anggota KPDRM,” katanya semasa berucap sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali ke-90 KPDRM di sini hari ini.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Malaysia Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Razarudin berkata KPDRM mencatat keuntungan berjumlah RM50.14 juta bagi tahun 2024, berbanding RM 45.02 juta pada 2023.
“Ini dipengaruhi peningkatan jumlah keanggotaan KPDRM daripada 114,608 pada tahun 2023, kepada seramai 119,922 tahun 2024, melibatkan pertambahan seramai 5,314 orang.
“Sehubungan itu, pemilikan Modal Yuran turut meningkat kepada RM586.6 juta pada 2024 berbanding RM558 juta pada 2023, peningkatan 4.9 peratus,” katanya.
Selain itu Razarudin berkata pemilikan Modal Syer turut meningkat daripada RM20.5 juta pada 2023 kepada RM23.04 juta pada 2024.
Pada majlis itu Perdana Menteri turut menyampaikan wang pampasan caruman insuran kepada sembilan waris anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam nahas jalan raya di Teluk Intan, Perak, Mei lepas.– Bernama