KUCHING: Kerajaan komited untuk memperkasakan sektor koperasi sebagai ketiga terpenting selepas sektor kerajaan dan swasta.
Ini kerana koperasi mempunyai jumlah aset melebihi RM140 bilion selain bilangan koperasi sebanyak 14,834 serta anggotanya melebihi tujuh juta orang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata sumbangan koperasi juga mampu memastikan impak kewujudan koperasi dalam kalangan anggota dan masyarakat sekeliling dapat dirasai.
“Sektor koperasi berada di landasan yang baik untuk terus bergerak bagi pembangunan komuniti secara menyeluruh.
“Melalui koperasi membolehkan sasaran kerajaan untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat secara inklusif dapat dilaksanakan.
“Koperasi perlu membentuk rantaian kerjasama antara anggota terutamanya anggota usahawan dan koperasi bagi membolehkan koperasi turut menjana pendapatan melalui proses perkongsian teknologi, kepakaran dan sumber,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Program Seminar ‘Transformasi Rantaian Tani Niaga: Peluang Koperasi’ di Hotel Raia dan Konvensyen Kuching, malam tadi.
Teks ucapannya dibaca oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
Awang Tengah berkata, koperasi juga perlu terus memainkan peranan lebih aktif dalam mencari akses pasaran baharu dan pada masa yang sama, memajukan ekonomi dalam pertanian.
“Saya amat yakin bahawa program seminar ini akan mampu membuka minda dan memberi idea baharu dalam gerakan koperasi di negeri ini.
“Ke arah itu, sama-samalah kita tingkatkan usaha, kemahiran dan pengetahuan untuk membangunkan diri agar keyakinan masyarakat terus dipertingkatkan sejajar dengan hasrat kerajaan melahirkan usahawan koperasi yang lebih kompetitif, berdaya saing, progresif dan berintegriti,” katanya.
Oleh itu, beliau berharap dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, aspirasi kementerian untuk menggalakkan penglibatan koperasi mahupun usahawan akan menjadi usaha murni yang berterusan.
Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Negeri Sarawak Liew Liuk Chim, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal insan Koperasi) Institut Koperasi Malaysia Zon Sarawak Mohd Zaib Mat Yunus dan Pengarah Institut Koperasi Malaysia Zon Sarawak Siti Maimunah Jerni.
Oleh Mohd Neenatul Aizal