BERA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata koperasi di seluruh negara boleh membantu menangani masalah kenaikan harga barang bagi mengurangkan tekanan dan beban kewangan rakyat yang terkesan susulan pandemik Covid-19.
Beliau berkata, antara yang boleh dilakukan ialah mewujudkan pemborong koperasi khusus untuk membekalkan barangan secara pukal pada harga murah kepada seluruh koperasi dan kaedah itu akhirnya turut dapat dinikmati oleh rakyat.
“Koperasi boleh memainkan peranan untuk mengurangkan tekanan kepada rakyat…koperasi ada banyak namun kebanyakannya membeli barang dari kedai pemborong dalam kuantiti kecil seperti beras atau gula sekitar 100 atau 200 kampit sahaja sebulan.
“Kalau boleh diwujudkan pemborong khas koperasi, mereka (koperasi) boleh beli secara pukal dan murah. Kalau dijual murah, sudah tentu lebih ramai akan memilih membeli dari koperasi dan ini membantu pendapatan koperasi,” katanya, semasa merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera di Kampung Batu Papan di sini semalam.
Ismail Sabri berkata, cadangan menubuhkan pemborong khas koperasi itu akan dibincangkan lebih terperinci dengan pihak terlibat termasuk Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, setakat ini, difahamkan terdapat 1,500 koperasi di seluruh negara yang dapat memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah, dan ia antara ‘sumbangan’ koperasi untuk bersama-sama kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga barang. — Bernama