Ketika ‘berkurung’ semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal Mac lalu masyarakat seakan mati kutu kerana arahan kerajaan itu mendesak untuk duduk di rumah dan tidak melakukan kebiasan kehidupan seharian sehinggakan tidak boleh keluar untuk bekerja.
Ternyata arahan itu membuka pintu rezeki kepada usahawan muda, Noor Shazarina Abdullah,35, untuk memulakan perniagaan makanan yang diusahakannya selama ini secara bertemu pelanggan beralih kepada di alam maya.
Sejak beberapa tahun lalu, setiap musim perayaan Shazarina bergiat aktif menjual kek lapis dan biskut melalui ejen-ejennya yang dilantik namun berbeza untuk sambutan tahun ini.
“Sejak PKP dilaksanakan khidmat bayar selepas terima (COD) para ejen terpaksa dihentikan kerana keadaan pandemik Covid-19 yang menular di negeri kita,” katanya.
Namun Shazarina yang lebih dikenali Konyeng di dalam industri makanan dan kek tempatan mengakui dirinya perlu mencari alternatif untuk menjana pendapatan dan seterusnya mengekalkan nama ‘Konyeng’ terus di pasaran waima PKP menjadikan banyak perniagaan hampir lumpuh.
Berikutan alam maya dan media sosial kini menjadi sebahagian kehidupan, Shazarina memilih platform itu untuk berniaga makanan dan menawarkan kelas memasak jarak jauh (PJJ) secara dalam talian dengan harga yang mampu milik.
“Melalui kelas itu saya akan mengajar pelanggan terutamanya para ibu-ibu dengan memberi idea kepada mereka memasak untuk keluarga masing-masing,
“Malah dengan hasil belajar PJJ itu, kebanyakan pelajar saya juga telah pandai memasak hingga mampu menerima tempahan dan seterusnya menjana pendapatan mereka sendiri,” ujarnya.
Dengan menawarkan kelas memasak , Shazarina berkata para pelajarnya akan memperoleh manfaat belajar seumur hidup kerana pakej belajar akan dibekalkan video yang boleh diulang tayang sendiri.
Pelbagai jenis menu makanan dan kuih-muih diajarnya melalui kelas PJJ dalam talian berkenaan antaranya memasak Laksa Sarawak, Nasi Lemak Pandan, Kuih Hati Pari, Vietnam Spring Roll, Mee Kolok, Pizza Gebu, Mee Jawa, Nasi Ayam Hainan, Pau Gebu dan Roti Canai.
“Menu akan datang yang bakal saya ajar adalah membuat kuih Talam Keladi Berlauk dan Holiaw Cahi Kueh menandangkan kedua-dua menu ini termasuk pau gebu adalah menu paling laris dijual oleh saya,” ujarnya akan terus menurunkan ilmu kepada mereka yang berminat walaupun selepas ini bakal berpindah ke Kuala Lumpur kelak.
Menurut Shazarina lagi kelas PJJ yang dilaksanakannya bakal menjadi platform ‘norma baharu’ bagi perniagaannya untuk membantu usahawan bumiputera Sarawak berjaya mempelopori bidang masakan dan makanan tempatan.
“Sebelum ini saya mengadakan kelas demo memasak secara berdepan dengan pelajar namun kelas PJJ ini adalah sektor baharu yang saya yakin memberi manfaat dan pulangan positif kepada masyarakat,” jelasnya dahulu sering mengadakan kelas untuk para ibu tunggal.
DIYANA SAMSUDDIN