
KUCHING: Seramai 54 graduan dari Kolej Komuniti Sarikei (KKSR) dan Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu (KKSRCS) telah diraikan dalam Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Sarawak 2025 sidang dua di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kuching pada hari ini.
Menurut kenyataan media KKSR, majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
“Majlis konvokesyen ini menyaksikan penglibatan lima institusi pendidikan POLYCC di Sarawak, iaitu Politeknik Kuching, Kolej Komuniti Kuching, KKSR, KKSRCS dan Kolej Komuniti Miri.
“Seramai 54 orang graduan dari KKSR dan KKSRCS telah berjaya menamatkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang kemahiran yang diminati industri.
“Mereka terdiri daripada graduan Sijil Kulinari (SKU), Sijil Sistem Komputer dan Rangkaian (SSK) dan Sijil Pengembaraan Pelancongan (SPL),” katanya.
Tambahnya, majlis tersebut turut menjadi platform pengiktirafan kecemerlangan apabila tiga Anugerah Khas Industri telah disampaikan, hasil sumbangan berharga daripada syarikat-syarikat terkemuka iaitu Joy Bakery Sdn Bhd, Infollective Solutions Sdn Bhd dan Kolej Universiti i-CATS.
“Penerima anugerah ini adalah Nur Syahira Zainal Abidin (Sijil Kulinari), Muhd Qairul Nizam Majedi (Sijil Sistem Komputer dan Rangkaian) dan Macdalina Goretti Sintau (Sijil Pengembaraan Pelancongan).
“Anugerah ini adalah bukti komitmen industri terhadap pembangunan bakat yang relevan dan berkualiti tinggi dari Kolej Komuniti,” katanya.
Sementara itu, Pengarah KKSR dan KKSRCS, Norasmah Jaafar melahirkan rasa bangga atas kejayaan para graduan.
“Kejayaan hari ini adalah hasil kerja keras dan dedikasi para pelajar serta sokongan padu daripada pensyarah dan ibu bapa.
“Kami berterima kasih kepada pihak industri atas pengiktirafan dan kerjasama berterusan yang telah memberikan nilai tambah kepada program-program kami dan peluang kerjaya kepada graduan kami,” katanya.
Majlis konvokesyen ini bukan sahaja meraikan kejayaan akademik tetapi juga memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan industri, memastikan graduan POLYCC sentiasa relevan dan bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja.
Oleh Earl Anek