
SIBU: Para graduan digesa agar memikul tanggungjawab membina masa depan negeri, selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak menjelang 2030.
Yang di-Pertua Negeri merangkap Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, aspirasi negeri untuk menjadi hab digital, kuasa tenaga hijau serta pusat teknologi dan inovasi menjelang 2030 sedang diterjemahkan melalui pelbagai pembangunan berimpak tinggi di seluruh negeri.
“Sarawak kini berada di landasan kukuh menuju transformasi menyeluruh di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Pembangunan seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu, pelabuhan kargo serantau di Tanjung Embang, sistem pengangkutan awam pintar serta pertanian berteknologi tinggi dan pengeluaran makanan sendiri sedang giat dilaksanakan bagi memperkukuh kedudukan Sarawak di peringkat global,” katanya.
Tun Wan Junaidi berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-10 UTS di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, di sini, hari ini.
Beliau berkata, projek berani seperti Loji Hidrogen Bersepadu dan eksport hidrogen hijau meletakkan Sarawak di barisan hadapan transformasi tenaga dunia.
“Begitu juga dengan pengeluaran metanol, ekonomi digital, pusat data serta pembangunan grid pintar, semua ini membuka laluan masa depan yang cerah. Anda mesti memiliki, memperjuangkan dan menjadi sebahagian daripada perjalanan transformasi Sarawak,” katanya.
Tun Wan Junaidi turut mengingatkan bahawa majlis konvokesyen bukanlah penamat perjalanan akademik, sebaliknya permulaan bagi graduan memikul tanggungjawab membentuk masa depan negeri dan negara.
“Penerimaan skrol bukan sekadar simbol kejayaan, tetapi membawa bersama amanah dan tanggungjawab besar sebagai golongan berpendidikan yang bakal memacu pembangunan Sarawak,” katanya.
Terdahulu, Naib Canselor UTS Prof Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid dalam ucapannya berkata, seramai 408 pelajar daripada 21 program akademik menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen kali ini.
Daripada jumlah itu, 44 graduan menerima ijazah pascasiswazah manakala 364 menerima ijazah sarjana muda.
“Anugerah Canselor yang berprestij disampaikan kepada graduan terbaik keseluruhan, manakala dua lagi graduan menerima Anugerah Akademik.
“Selain itu, 26 graduan turut menerima Anugerah Industri, Kepimpinan dan Buku seperti yang disenaraikan dalam buku program,” katanya.
Seramai 149 graduan diraikan pada majlis hari pertama dengan 42 orang merupakan graduan sarjana, manakala 107 graduan ijazah.
Hadir sama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Oleh Tarani Lanting