
LAWAS: Sebanyak 50 kereta dan 45 motosikal yang diketuai Sahabat Semboyan dan Kelab Titan di sini telah menyertai konvoi ke pusara arwah Zara Qairina Mahadhir di Mesapol, Sipitang, Sabah, bersempena Hari Kebangsaan, semalam.
Rombongan berkenaan berhimpun di Tebingan Sungai Lawas sebelum bergerak ke Sipitang pada 10.00 pagi dengan memakai pakaian berwarna putih sebagai simbol solidariti, sambil diiringi dengan bacaan selawat.

Setibanya di Tanah Perkuburan Islam Mesapol, para peserta disambut mesra oleh keluarga arwah dan acara diteruskan dengan bacaan Surah Yasin serta tahlil yang diketuai oleh Ustaz Mohd Khairul Nizam dari Lawas.
Menurut jurucakap Kelab Titan dan Sahabat Semboyan Lawas, Jimly Mohamad, satu sumbangan turut disampaikan kepada keluarga arwah oleh Pengerusi kelab berkenaan, Morshidi, sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral.
“Pergerakan ini turut disertai rakan-rakan dari beberapa kampung di Daerah Lawas sebagai tanda solidariti kepada keluarga arwah. Kami berharap insiden yang menimpa Zara Qairina menjadi iktibar untuk membanteras budaya buli di semua sekolah dan institusi pengajian,” katanya.
Rombongan itu turut menyatakan harapan agar keadilan ditegakkan secara telus tanpa mengira latar belakang atau kedudukan, sejajar dengan prinsip kedaulatan undang-undang di negara ini.
Oleh Adeng Edrus