
SIBU: Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 peringkat Daerah Sibu hari ini berlangsung dengan penuh meriah apabila konvoi KMJG singgah di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Thai Kwang, sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Majlis perasmian KMJG 2025 telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SJKC Thai Kwang, Datuk Tiong Thai King.
Tiong dalam ucapannya berkata, tema sambutan tahun ini Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, amat signifikan kerana mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak dalam membina masyarakat yang penyayang dan inklusif.

Menurutnya, konsep MADANI ini selaras sepenuhnya dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030.
“Malaysia MADANI menekankan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menghayati semangat patriotik sebenar. Ia dilaksanakan melalui tiga teras utama iaitu pemikiran progresif, integrasi sosial yang menghormati kepelbagaian unik Sarawak, serta pembangunan ekonomi yang inklusif.
“Rakyat Disantuni pula adalah lambang komitmen kerajaan dalam membina negara berteraskan nilai-nilai murni kemanusiaan, keadilan dan kesejahteraan sosial untuk semua,” ujarnya.
Bagi Sarawak, katanya, konsep Rakyat Disantuni ini amat bermakna kerana ia menjamin tiada wilayah atau komuniti akan terpinggir dalam arus pembangunan negara.

“Kerajaan Sarawak bersama Kerajaan Persekutuan sentiasa memastikan hak autonomi Sarawak dipelihara sambil meningkatkan kualiti hidup rakyat di semua peringkat.
“Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyokong agenda pembangunan ini demi merealisasikan visi bersama kita: Sarawak Makmur, Malaysia Sejahtera. Semoga Sarawak terus maju di bawah naungan Malaysia yang bersatu padu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Konvoi KMJG 2025, Denver Bantok berkata, program berkenaan merupakan platform untuk mengeratkan semangat perpaduan, menanam kecintaan terhadap Jalur Gemilang dan memupuk nilai patriotisme dalam kalangan rakyat pelbagai lapisan masyarakat.
“Malaysia MADANI menzahirkan erti kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dengan semangat patriotik melalui integrasi sosial dan ekonomi yang progresif. Rakyat Disantuni pula melambangkan komitmen kerajaan membina negara yang sejahtera, adil dan makmur,” katanya.
Beliau turut memberitahu, bahawa KMJG 2025 melibatkan 22 hentian di seluruh Sarawak bermula di Lundu pada 2 Ogos lalu dan akan berakhir di Lawas pada 16 September sempena Hari Malaysia.


MERIAH….Para pelajar SJKC Thai Kwang mengibarkan Jalur Gemilang pada KMJG 2025 peringkat Daerah Sibu, hari ini.
Katanya, setiap hentian konvoi akan diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti pentas hiburan, ceramah, pameran serta program kemasyarakatan yang berkonsepkan patriotisme dan cinta negara.
“Program kita hari ini sungguh bersejarah kerana ia menandakan permulaan sebuah kembara patriotik istimewa yang akan menyemarakkan semangat kemerdekaan di seluruh negeri,” tambah beliau.
Beliau turut mengajak masyarakat menyahut kempen ‘Satu Rumah Satu Jalur Gemilang (1R1JG)’ dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, sekolah, premis perniagaan dan kenderaan masing-masing sebagai tanda cinta dan bangga kepada Malaysia.
Beliau menyeru golongan pelajar khususnya di SJKC Thai Kwang agar terus menghargai pengorbanan tokoh-tokoh perjuangan negara serta mengamalkan semangat hormat-menghormati, toleransi dan perpaduan demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.
Turut hadir wakil Pegawai Daerah Sibu, Ezekiel Lawat Winston, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sibu, Jeremy Ling, wakil Ketua Polis Daerah Sibu, ASP Wee Soon Guan, Pegawai Penerangan Daerah Sibu, Zaini Morshidi, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sibu, Dinah Samuel, wakil Komuniti Madani Daerah Sibu, Datuk Teo Boon Siew, Guru Besar SJKC Thai Kwang, Lily Chiong serta yang lain.
Oleh Akun Giman