Konvoi Hari Sarawak semarak semangat cintakan negeri

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DATO’ Sri Huang Tiong Sii menerima cenderamata daripada wakil Pengarah UKAS, Anwar Hanafi Ardimansyah pada 722 Konvoi Bermotosikal Program Semarak Kemerdekaan 2026 di Sarikei, hari ini.

SARIKEI: Konvoi Bermotosikal sempena Hari Sarawak menjadi wadah penyatuan rakyat dalam menyemarakkan semangat patriotisme serta memperkukuh rasa bangga terhadap sejarah, identiti dan masa depan Sarawak yang terus melakar kemajuan.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai setiap tahun merupakan detik bersejarah yang wajar terus dihayati seluruh rakyat kerana menandakan bermulanya pemerintahan sendiri Sarawak pada 1963.

“Hari Sarawak merupakan satu peringatan bersejarah yang amat bermakna kepada seluruh rakyat Sarawak.

“Setelah lebih enam dekad berlalu, Sarawak terus berdiri teguh sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sumber alam dan kepelbagaian budaya, selain mempunyai rakyat yang sentiasa bersatu padu, berdaya tahan serta bersemangat dalam membangunkan negeri tercinta,” katanya.

TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii bergambar bersama peserta konvoi pada 722 Konvoi Bermotosikal Program Semarak Kemerdekaan 2026 di Sarikei, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika berucap pada 722 Konvoi Bermotosikal Program Semarak Kemerdekaan 2026 anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Sarikei, di sini, hari ini.

Katanya, penganjuran konvoi itu merupakan platform berkesan untuk memupuk semangat cintakan negeri, di samping mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang.

“Konvoi bermotosikal seperti ini merupakan antara medium berkesan untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan rasa bangga sebagai rakyat Sarawak dalam kalangan seluruh lapisan masyarakat.

“Apabila enjin dihidupkan dan bendera Sarawak dikibarkan sepanjang perjalanan, ia bukan sekadar mencipta pemandangan yang membanggakan, malah menyampaikan mesej jelas bahawa kita berbangga menjadi rakyat Sarawak dan komited untuk bersama-sama membina masa depan negeri yang lebih gemilang,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan berwawasan dalam memacu pembangunan negeri secara inklusif dan mampan, selain memperjuangkan hak Sarawak, memperkukuh ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

PARA peserta bersiap sedia sebelum pelepasan konvoi bermotosikal ke Daerah Meradong sempena 722 Konvoi Bermotosikal Program Semarak Kemerdekaan 2026 di Sarikei, hari ini.

Tambahnya, pelbagai dasar, program dan inisiatif yang diperkenalkan di bawah kepimpinan Premier Sarawak telah menyemai semangat cintakan negeri serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap hala tuju pembangunan Sarawak.

“Kepada seluruh peserta konvoi, saya mengucapkan selamat menempuh perjalanan yang penuh semangat ini.

“Bawalah bersama rasa bangga sebagai rakyat Sarawak ke mana-mana sahaja perjalanan membawa anda pada hari ini.

“Semoga konvoi ini menjadi simbol perpaduan, semangat kekitaan dan kecintaan terhadap negeri yang terus menyala dalam jiwa kita semua,” katanya.

Konvoi berkenaan turut melibatkan perjalanan ke Daerah Meradong.

Turut hadir wakil Pengarah UKAS, Anwar Hanafi Ardimansyah Timbalan Residen Sarikei, Shafrie Saili wakil Pegawai Daerah Sarikei, Gerald Grino Apil dan Ketua Polis Daerah Sarikei, Supt Aswandy Anis.

Oleh Earl Anek