Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Konvensyen Pendidikan Islam, Bahasa Arab Sarawak 2026 perkukuh peranan guru
  • PENDIDIKAN

Konvensyen Pendidikan Islam, Bahasa Arab Sarawak 2026 perkukuh peranan guru

Utusan Sarawak 6 hours ago
KENANGAN… Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli bersama tetamu kehormat yang lain para peserta merakam gambar kenangan pada Konvensyen Pendidikan Islam dan Bahasa Arab Sarawak (SCIEDAL) 2026 di Unimas, hari ini. Foto Norman B

KOTA SAMARAHAN: Konvensyen Pendidikan Islam dan Bahasa Arab Sarawak (SCIEDAL) 2026 dilihat sebagai platform strategik untuk memperkasakan profesionalisme guru serta memacu inovasi pengajaran dan pembelajaran selari dengan tuntutan pendidikan semasa.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata penganjuran SCIEDAL bukan sekadar program tahunan atau medan pembentangan akademik, sebaliknya menjadi wadah yang mengangkat peranan guru sebagai agen perubahan, penyelidik bilik darjah dan pencetus inovasi pendidikan.

“Pendekatan kajian tindakan dan inovasi yang diketengahkan lahir daripada permasalahan sebenar pengajaran dan pembelajaran, lalu diterjemahkan kepada solusi yang praktikal, kontekstual dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan SCIEDAL 2026 bertemakan ‘Memperkasakan Pendidikan Berkualiti Melalui Kepimpinan, Pengajaran dan Pembelajaran’ di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), hari ini.

SIMBOLIK… Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli melakukan simbolik perasmian Konvensyen Pendidikan Islam dan Bahasa Arab Sarawak (SCIEDAL) 2026, di Unimas, hari ini. Foto Norman B

Menurut beliau, pendekatan tersebut selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) yang menekankan budaya refleksi kendiri, penambahbaikan berterusan dan pembelajaran profesional dalam kalangan warga pendidik, sekali gus memperkukuh profesionalisme guru pendidikan Islam dan bahasa Arab.

Mengulas tema konvensyen, Omar berkata dunia pendidikan kini berdepan perubahan pantas dipacu teknologi digital, kecerdasan buatan serta keperluan kemahiran abad ke-21, justeru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab perlu bergerak seiring tanpa mengabaikan nilai, adab dan jati diri.

“Inovasi bukan mengubah prinsip, tetapi memperkukuh pendekatan agar penyampaian ilmu lebih berkesan, menarik dan relevan. Teknologi, pedagogi kreatif serta pentaksiran autentik perlu dimanfaatkan secara bijaksana,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan pemartabatan Bahasa Arab sebagai bahasa ilmu, bahasa wahyu dan bahasa komunikasi global wajar diperkukuh melalui pendekatan inovatif dan kontekstual seperti yang dibincangkan dalam SCIEDAL.

Jelasnya, program SCIEDAL 2026 disifatkan bukan titik penamat, tetapi permulaan kepada gerakan lebih besar berteraskan ilmu, dipandu nilai dan diperkasakan inovasi demi masa depan pendidikan Islam dan bahasa Arab yang cemerlang di Sarawak.

Oleh Norman B

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Sarawak sambut baik pengambilan 20,000 guru bukan pendidikan, tumpuan STEM dan bahasa Melayu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.