
PETRA JAYA: Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke-16 akan memberi fokus kepada penyelarasan ahli parti dengan visi Premier Sarawak, menangani isu akar umbi, dan mengemas kini perlembagaan parti agar kekal relevan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, konvensyen ini penting bagi memastikan ahli parti memahami misi, strategi, dan pelan tindakan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk masa depan Sarawak.
“Konvensyen ini juga berperanan sebagai platform untuk membangkitkan dan menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh akar umbi.
“Bagi kepimpinan PBB, idea dan isu yang dibangkitkan oleh ahli akar umbi akan diketengahkan semasa konvensyen dan diberi perhatian oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat PBB di sini, hari ini.
Fazzrudin, yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, menjelaskan bahawa pindaan perlembagaan parti diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman dan perkembangan teknologi.
“Pindaan ini dibuat agar selari dengan perubahan semasa.
“Maklumat lanjut akan diberikan kepada pihak media semasa konvensyen nanti, namun sebahagian pindaan hanya bersifat pentadbiran,” katanya.
Dalam pada itu, Fazzrudin akan berperanan sebagai ahli jawatankuasa pemilihan, pengerusi jawatankuasa keselamatan, serta penyelia bahagian media dan publisiti dalam konvensyen tersebut.
Bagi liputan media, sesi temu bual telah diatur dengan beberapa pemimpin utama parti, termasuk Ketua Pemuda PBB Miro Simuh, Ketua Wanita PBB Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Agung Dato Sri Alexander Nanta Linggi, dan Naib Presiden Datuk Gerawat Gala.
Perhimpunan Agung ke-16 dan Konvensyen PBB akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari Jumaat hingga Ahad ini.
Oleh Mohd Neenatul Aizal