
KUCHING: Konvensyen Komik Kuching (KCC) bukan sekadar perhimpunan peminat komik, sebaliknya berkembang sebagai sebuah ekosistem kreatif yang menghimpunkan komik, animasi, filem, permainan digital, penciptaan kandungan, cosplay, muzik serta budaya hobi dalam satu platform dinamik.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, penganjuran KCC mencerminkan denyut nadi kreatif golongan belia dan sekali gus menyerlahkan kehadiran Sarawak yang semakin kukuh dalam ekonomi kreatif.
“Acara ini juga mengetengahkan bakat tempatan yang sedang meningkat naik seperti Art of Wud, kumpulan persembahan Post Mortem Education dan Pusat Muzik Prodigy, serta pembangun permainan seperti Isekai Zero, Kloena dan Moredoor yang membawa kreativiti Sarawak ke pentas lebih besar,” katanya ketika berucap merasmikan Edisi Kedua Konvensyen Komik Kuching 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Menurut beliau, KCC turut menjadi titik pertemuan tradisi komik Barat dan Timur yang disatukan dengan warisan komik serta animasi tempatan Malaysia, sekali gus membentuk kepelbagaian budaya yang dapat dinikmati oleh semua peringkat usia.
Beliau menegaskan, inilah gerakan kreatif yang ingin dipupuk oleh kerajaan negeri iaitu berteras bakat tempatan, didorong minat yang mendalam serta beridentitikan Sarawak.
Sebastian menjelaskan, penganjuran acara seperti KCC memberi keterlihatan, pendedahan serta jaringan industri yang amat diperlukan oleh pencipta muda untuk berkembang melalui latihan, bengkel, pertukaran pengetahuan berasaskan industri dan peluang mempamerkan hasil karya.
“KCC bukan hanya sebuah konvensyen, malah menjadi batu loncatan kepada bakat baharu serta pemangkin kepada pembangunan industri kreatif Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penganjuran KCC selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam aspek peningkatan kemahiran belia dalam animasi, ilustrasi, seni digital, penciptaan kandungan, multimedia dan keusahawanan kreatif, penerapan teknologi digital serta pengukuhan kedudukan Sarawak sebagai destinasi kreatif dan budaya.

“Dengan budaya pop menjadi trend pelancongan utama dalam kalangan Generasi Milenial dan Gen Z, Sarawak berpotensi diposisikan sebagai hab pelancongan kreatif serantau.
“Kementerian yakin KCC mampu berkembang sebagai produk pelancongan tahunan yang melengkapkan kalendar acara dan kebudayaan negeri,” katanya.
Beliau turut menyifatkan KCC sebagai platform penting kepada golongan muda untuk meneroka kerjaya dalam animasi, ilustrasi, penciptaan kandungan digital, penerbitan filem dan televisyen, pembangunan permainan, kraftangan cosplay serta keusahawanan produk kreatif.
“Sinergi antara kerajaan, industri dan komuniti amat penting dalam membina ekosistem kreatif yang mampan,” tambah beliau.
Sebastian merakamkan penghargaan dan tahniah kepada penganjur, rakan strategik, pempamer, artis serta semua pihak yang menjayakan KCC tahun ini, sambil menggalakkan pengunjung meneroka pameran, berinteraksi dengan artis, menyertai bengkel dan menghayati dunia komik, animasi, permainan serta seni kreatif.
Oleh Adele Rissa