SIBU: Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah bertujuan merapatkan barisan ahli-ahli parti PBB dan juga GPS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 yang akan diadakan bila-bila masa sahaja dari sekarang.
Setiausaha Agung PBB Sarawak yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Tengah, Datuk Alexander Nanta Linggi, antara lain tujuan konvensyen khas ini adalah bertujuan memberi suara dan mengukuhkan perpaduan dan persefahaman di kalangan ahli PBB bagi meneruskan usaha dalam membantu rakyat di Sarawak yang sentiasa inginkan keamanan, rukun damai dan kehidupan yang lebih baik.
“Kita juga mahu konvensyen ini menjadi platform untuk menyediakan parti dan ahli-ahlinya bagi menghadapi PRN Ke-12 yang bakal diadakan.
“Kita berharap pertemuan kita di sini akhirnya nanti mampu menghasilkan buah fikiran dan persefahaman yang utuh di kalangan kita bagi terus mentadbir negeri Sarawak dengan cemerlang dan jayanya.
“Konvensyen ini juga membuka ruang untuk ahli-ahli membentangkan kertas-kertas kerja bagi persediaan kita menghadapi PRN di samping mendengar perbincangan khas yang akan berkisar kepada isu-isu setempat dan semasa,” katanya letika berucap di Konvensyen Khas PBB Zon Tengah 2020 di salah sebuah hotel terkemuka, petang semalam.
Katanya, ada di antara isu-isu ini tentunya menyentuh kepada kepentingan Negeri Sarawak, yang sering kali menjadi modal bagi pihak pembangkang untuk mengapi-apikan sentimen kebencian terhadap PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Tentunya isu yang sengaja diada-adakan oleh pihak pembangkang ini adalah bagi menutup segala kebaikan yang telah dibawa oleh parti PBB dan GPS kepada negeri Sarawak dan rakyatnya.
“Sesungguhnya, kita memahami tindakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah cubaan pihak lawan untuk merendahkan kita tetapi mereka harus sedar, kita tidak akan sesekali tunduk dan akur dengan permainan mereka.
“Seperti mana sesi yang lain, konvensyen kali ini juga diadakan bagi berkongsi strategi dan panduan kepada semua ahli untuk berhadapan dengan PRN yang akan datang.
Jelasnya, semua ahli akan didedahkan dengan ilmu bagaimana dapat menghadapi proses pilihanraya ini dengan lancar dan persediaan untuk kita berhadapan dengan tempoh berkempen selama dua minggu yang padat dan mencabar apatah lagi dengan penularan Covid-19 dan tentunya perjalanan konvensyen kali ini amat berlainan dari sebelumnya.
“Kita perlu membiasakan diri dengan amalan norma baharu dan patuh kepada prosedir operasi standard (SOP).
“Kita tidak boleh merasa selesa dan perlu sentiasa menambahkan ilmu sebelum kita turun ‘berperang’. Bak kata ahli falsafah ketenteraan China yang terkenal, Sun Tzu, ‘Bravery without forethought, causes a man to fight blindly and desperately like a mad bull’,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, semua ahli PBB perlu bersiap sedia bukan sahaja dari segi mental dan fizikal tetapi juga dengan ilmu dan strategi yang berkesan.
“Kemudahan-kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, jambatan, klinik-klinik dan lain-lain lagi dibina dan kemudahan-kemudahan ini telah membawa banyak manfaat kepada rakyat di Sarawak, sepertimana yang telah kita dimaklumkan di dalam kertas kerja yang telah dibentangkan.
“Kita juga berpeluang melihat perkembangan pelbagai projek rakyat dan projek mega yang dibuat bagi memastikan kesejahteraan rakyat melalui pameran yang turut disediakan di ruang legar pameran di sini.
“Inilah hasil perjuangan PBB dan GPS demi rakyat dan negeri Sarawak, pembangunan menyeluruh telah dapat direalisasikan.
Sehubungan itu, katanya, usaha dan kerja keras belum terhenti di sini dan masih banyak yang perlu dilakukan demi rakyat dan Sarawak.
“Kerana itulah, saya menyeru semua ahli agar bersiap sedia untuk turun ke medan perang bagi memastikan PBB dan GPS dapat terus diberikan mandat bagi menerajui negeri ini, supaya pembangunan dapat diteruskan.
“Ramai pada mulanya meragui kemampuan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak.
“Ada yang berpandangan Datuk Patinggi Abang Johari tidak dapat memahami kehendak dan hasrat rakyat di pedalaman. Tetapi kita telah dapat menyaksikan bagaimana Abang Jo dengan visinya, telah dapat memimpin negeri ini ke arah Sarawak maju 2030, dengan tidak mengecualikan siapapun di sini – no one is left behind.
“Datuk Patinggi Abang Jo telah bekerja keras bagi membangunkan dan mempertahankan hak Sarawak dan banyak pengorbanan beliau yang tidak kita ketahui,” ujar beliau.
Katanya, sebaik sahaja Abang Jo dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak, beliau telah turun ke kawasan-kawasan pedalaman bagi memahami masalah di sana. Beliau telah mengumumkan penubuhan URDA, NRDA, dan HDA serta yang terbaru, CADA yang mana agensi-agensi ini bertanggungjawab membantu membangunkan kawasan-kawasan pedalaman di Sarawak di samping memberi penekanan terhadap sosio-ekonomi.
Tambahnya lagi, Abang Jo juga telah menekankan kepentingan digital ekonomi, suatu konsep yang kurang diberi perhatian sebelum ini.
“Apabila negara kita dilanda wabak Covid-19, kita mula menyaksikan perkembangan pesat ‘e-commerce’ yang banyak membantu rakyat dan negara menjana pendapatan.
“Saya amat berbangga untuk menyatakan bahawa Abang Jo telah terlebih dahulu melihat potensi e-commerce sebelum kita mengalihkan fokus terhadap platform perdagangan ini, dan inilah salah satu kualiti Abang Jo yang amat saya kagumi.
“Kita bertuah kerana dipimpin oleh Abang Jo, seorang yang berpendirian tegas dan tidak takut untuk menyuarakan pendapatnya, terutama dalam hal yang membabitkan kepentingan rakyat dan negeri Sarawak,” katanya penuh semangat.
Oleh AKUN GIMAN, EARL ANEK & NURZILLA MOHAMAD Foto OTHMAN ISHAK