
SARIKEI: Konvensyen Junior Chamber International (JCI) Area Sarawak 2025 bukan sahaja mencungkil idea belia, malah ia juga membakar semangat kepimpinan generasi baharu Sarawak.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii berkata, perhimpunan belia ini sebagai bukti bahawa mereka bukan lagi menunggu peluang, tetapi mencipta perubahan.
“Sepanjang konvensyen ini, kita telah meneroka tema penting seperti kepimpinan, inovasi dan kelestarian. Namun, pengajaran terpenting adalah kepimpinan bukan satu garisan penamat yang kita lintasi.
“Ia adalah jalan yang kita lalui setiap hari melalui keputusan yang kita ambil, cara kita membantu orang lain dan bagaimana kita bekerjasama demi kebaikan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Wong Zee Yeng selaku wakilnya di majlis penutupan Konvensyen JCI Area Sarawak, bertempat di Dewan Sentral Sarikei, baru-baru ini.
Lebih 200 orang belia dari pelosok Sarawak telah menyertai konvensyen tersebut.
Katanya, para belia yang hadir ke konvensyen ini telah menyumbang dalam perbincangan, berkongsi pandangan dan mendengar dengan hati serta minda yang terbuka.
“Anda bukan sahaja menerima ilmu, tetapi turut menyumbangkannya. Lihatlah sekeliling, mungkin individu di sebelah anda akan menjadi rakan kongsi projek akan datang, mentor atau sahabat seumur hidup.
“Inilah JCI, ia bukan sekadar tempat melahirkan bakal pemimpin masa depan, tetapi juga hubungan yang berkekalan,” katanya.
Oleh Earl Anek