SIBU: Konvensyen Autism Kebangsaan akan diadakan di RH Hotel di sini bermula 6 hingga 7 Mei depan.
Presiden Autism Sibu David Ngu berkata, konvesyen tersebut terbuka kepada orang ramai yang berminat serta ibu bapa yang mempunyai anak diagnosis autism.
“Konvensyen ini terbuka kepada orang ramai khususnya kepada ibu bapa, guru dan pelajar dalam fakulti berkaitan,”.
“Pendidikan menguruskan anak-anak autism ini penting untuk ibu bapa mempelajari tips pengurusan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Ngu memberitahu seramai 13 panel jemputan dari pelbagai bidang berkaitan akan memberi ceramah untuk memberi pendedahan mengenai pengurusan anak-anak autism.
Ujarnya, ia termasuk mempelajari cara-cara komunikasi, diet, terapi dan pendidikan inklusif.
“Kita tidak boleh mengharapkan sepenuhnya terhadap guru-guru dan tenaga penjaga di pusat atau institusi autism untuk menjaga anak-anak kita,”.
“Sebagai ibu bapa, kita mempunyai masa yang banyak di rumah untuk anak-anak berbanding guru dan tenaga penjaga di institusi autism. Oleh itu, konvesyen ini sangat bermanfaat untuk mereka,” tegasnya.
Menyentuh mengenai fakta Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Ngu mengatakan setiap seorang daripada 68 kanak-kanak akan diagnosis sebagai autism.
Menurutnya, kini sebanyak 9,000 bayi yang dilahirkan di Malaysia akan diagnosis sebagai autism.
“Berdasarkan maklumat daripada Lau King Howe Memorial Children Clinic di Pusat Agape Sibu, kanak-kanak diagnosis sebagai autism mencecah 100 setiap tahun.
“Tahun lalu, Sibu telah merekodkan hingga 127 kanak-kanak dikenal pasti sebagai autism,” tegasnya.
Beliau berkata, konvensyen yang dianjurkan oleh Persatuan Autism Sibu ini mengenakan yuran sebanyak RM100 untuk rakyat Sarawak manakala luar dari negeri ini dikenakan bayaran RM150.
Yuran tersebut, katanya, adalah termasuk dengan makanan, minuman dan penginapan bagi peserta yang bukan dari Sarawak.
“Mereka yang berminat bolehlah mendaftar di kod QR yang disediakan di halaman media sosial Persatuan Autistic Sibu,” tambahnya lagi.
Oleh RAIHAN OMERA KAUSARĀ