KETIKA kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri di Kelantan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan mempunyai cukup jumlah Ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri ke-10. Beliau menyatakan terdapat beberapa fakta, iaitu dua surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 20 November 2022, yang mengandungi titah perintah Yang di-Pertuan Agong ke-16 meminta mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang lain untuk menjadi Perdana Menteri menghantar Akuan-Akuan Berkanun kepada Istana Negara selewat-lewatnya pada 21 November 2022 sebelum jam 2.00 petang.
Dokumen kedua terdiri daripada 114 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022, jam 1.28 tengah hari, sebelum tempoh asal ditetapkan tamat dan satu lagi Akuan Berkanun yang diserahkan kepada Istana Negara pada 22 November 2022. Namun begitu, Pengerusi PN tersebut mendakwa tidak dapat dilantik sebagai Perdana Menteri, malah tidak dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong.
KEMURKAAN RAJA
Kenyataan Pengerusi PN dan juga Pengerusi Parti BERSATU itu mendapat respon daripada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan. Hal ini kerana tindakan Muhyiddin itu dianggap baginda sebagai secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Justeru, baginda mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum). Kenyataan veteran politik dan bekas Perdana Menteri itu juga dianggap sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10.
“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri. Kenyataan yang dikeluarkan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” titah baginda.
PROSEDUR PELANTIKAN TELUS
Terdapat kebenaran akan kenyataan Tengku Mahkota kerana berdasarkan perlembagaan negara Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, pelantikan Perdana Menteri adalah atas dasar budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara. Seterusnya, pelantikan Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut sebagaimana terdapat dalam Perkara 43 (2).
Hakikatnya , Al-Sultan Abdullah tidaklah sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri walaupun perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada baginda. Demikian kenyataan dikeluarkan oleh Istana Pahang baru-baru ini. Hal ini kerana sebelum Sultan Al-Abdullah membuat keputusan melantik Perdana Menteri ketika itu telah memanggil pakar-pakar perlembagaan, penjawat awam utama negara dan yang terakhir turut secara musyawarah mendapatkan pandangan Majlis Raja-Raja.
USUL UNDI PERCAYA
Hakikatnya Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022. Jelas, keputusan undi percaya itu adalah jelas dan selari dengan pertimbangan Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah semasa baginda memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Berdasarkan fakta-fakta tersebut Istana Pahang mahu PDRM mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi kepada Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum). Malah, baginda menasihatkan kepada semua ahli politik selaku pemimpin rakyat, mestilah sentiasa berpegang teguh pada Prinsip Rukun Negara dan terus menerus untuk sentiasa menyatupadukan rakyat agar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dapat menjadi sebuah negara maju, cemerlang ekonomi, alam sekitarnya lestari dan rakyatnya bahagia.
CADANGAN AHLI PARLIMEN PKR
Berdasarkan kontroversi tersebut, Ahli Parlimen PKR Hassan Abdul Karim mencadangkan tiga cara untuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuktikan keabsahan kerajaannya secara muktamad. Yang pertama mencadangkan agar kerajaan mengemukakan usul undi percaya kepada Anwar atau pembangkang membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri apabila Dewan Rakyat bersidang semula pada 14 Oktober tahun ini.
Yang kedua, menggunakan undi percaya terhadap Belanjawan Negara 2025 yang akan dibentangkan 18 Oktober ini juga sebagai pengukur sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri. Makanya, jika belanjawan 2025 tidak lulus, maka kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri tidak ada keabsahan dan seluruh kabinetnya perlu letak jawatan di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, atau pun Anawr perlu mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati baginda agar Parlimen dibubarkan untuk mengadakan satu pilihan raya umum diadakan semula.
HANYA MEMBAZIR MASA
Hakikatnya, dalam perspektif konteks politik arus perdana semasa, tindakan untuk mengulang proses ini merupakan tindakan membazir masa kerana keabsahan kerajaan telah disahkan sebelum ini di Dewan Rakyat dan sebelum itu diperakukan Yang di-Pertuan Agong selepas mengadakan pertemuan khas dengan Majlis Raja-Raja. Diperkukuhkan lagi dengan kelulusan belanjawan 2024. Maka isu ini telah selesai dengan jelas dan tak ada yang perlu dipertikaikan.
Selain membazir sumber ia berpotensi mencetuskan ketidakstabilan politik jika dijalankan secara berterusan. Sebelum ini telah dipastikan komitmen tindakan terhadap prinsip demokrasi dan ketelusan dalam kerajaan telah dilalui berdasarkan undang-undang dan perlembagaan negara. Kesemua ini menunjukkan Anwar telah lulus ujian tersebut dan layak menjadi Perdana Menteri melalui pelbagai proses sebagaimana dibincangkan sebelum ini.
Justeru, sewajarnya tindakan politik pembangkang yang tidak matang, bersifat provokasi dan tidak terjerumus dengan berpolitik secara sentimen tidak perlu disantuni kerana tindakan sebelum ini merupakan tindakan yang sudah dipatuhi, sesuai dengan perlembagaan negara untuk memastikan kestabilan politik dan legitimasi kerajaan.
Hakikatnya, spekulasi dan kritikan berterusan daripada pihak pembangkang tidak lebih sebagai tindakan terdesak dan dilihat usaha untuk cuba meraih simpati dan sokongan daripada rakyat kerana Perikatan Nasional sedar sokongan terhadap mereka sebagai pembangkang semakin terhakis seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).