
KUCHING: Kontraktor bagi Blue Line Package 2 dalam projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) telah mendapat pujian atas usaha mereka membina Kompleks Pengurusan Projek Bersepadu.
Menurut Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, kontraktor tersebut telah melaksanakan dengan baik pembinaan kompleks yang dilengkapi kemudahan moden termasuk fasiliti rekreasi yang bertujuan menyediakan persekitaran kerja kondusif untuk para pekerja mereka.
“Sangat menggalakkan melihat perhatian yang diberikan kepada kebajikan pekerja, yang memainkan peranan penting dalam pembinaan Blue Line Package 2. Dedikasi mereka wajar diberikan penghargaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kompleks Pengurusan Projek Bersepadu bagi kontraktor Blue Line Package 2, usahasama Perbena Emas Sdn Bhd dan CRBC (M) Holdings Sdn Bhd (PESB-CRM JV).

Beliau turut berharap agar pemain industri tempatan mencontohi usaha ini kerana penekanan terhadap kebajikan pekerja dapat meningkatkan produktiviti.
“Pembinaan Kompleks Pengurusan Projek Bersepadu yang sempurna mungkin menjadi langkah masa depan bagi industri pembinaan di Sarawak.
“Saya berharap dengan persekitaran kerja yang kondusif, para pekerja akan lebih berdedikasi dan komited memastikan pelaksanaan projek KUTS berjalan lancar dan siap mengikut jadual,” tambahnya.
Belaiu turut mengucapkan tahniah kepada PESB-CRM JV dan menggesa mereka untuk bekerjasama dengan rapat demi kecemerlangan projek sambil mengutamakan aspek keselamatan.
Beliau juga mengingatkan mereka supaya bekerjasama erat dengan Sarawak Metro Sdn Bhd serta agensi kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan dalam pelaksanaan projek KUTS.
Kompleks Pengurusan Projek Bersepadu yang terletak di sepanjang Lebuhraya Kuching-Samarahan ini mempunyai 51 bilik untuk kakitangan pengurusan yang mampu menampung sehingga 70 orang serta 54 bilik untuk pekerja yang boleh menampung sehingga 270 orang.
Selain itu, kompleks ini turut menempatkan fasiliti pengeluaran konkrit pra-cetak milik syarikat usahasama yang dilengkapi dengan loji pencampuran konkrit (batching plant).
Turut hadir Konsul Jeneral Republik China di Kuching, Xing Weiping, Ketua Polis Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Mazli Mustaffa serta pengurusan dan kakitangan PESB-CRM JV dan Sarawak Metro.