Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kontraktor kecil Bumiputera terima peruntukan RM200 juta selenggara Jalan Persekutuan di Sarawak
  • SEMASA

Kontraktor kecil Bumiputera terima peruntukan RM200 juta selenggara Jalan Persekutuan di Sarawak

Utusan Sarawak 4 hours ago
MENTERI Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi (tengah) bergambar bersama pegawai Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak serta wakil syarikat konsesi selepas Majlis Cabutan Undi Tawaran Kerja Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Sarawak 2026 di Hikmah Exchange, hari ini. Foto Shikin Mahmud

KUCHING: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM200 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Sarawak tahun ini, sekali gus mencatatkan peningkatan 300 peratus berbanding peruntukan RM50 juta pada tahun sebelumnya.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan berkenaan disalurkan di bawah Program Memperkasa Kontraktor Bumiputera kelas G1 hingga G4, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kualiti, keselamatan dan ketahanan infrastruktur jalan raya Persekutuan di negeri ini terus dipertingkatkan.

Menurut beliau, peruntukan tersebut membolehkan 141 kerja penyelenggaraan dilaksanakan di seluruh Sarawak, merangkumi 95 kerja Berkala Pavemen dan 46 kerja Berkala Bukan Pavemen, berdasarkan keperluan sebenar di lapangan.

“Bagi tahun ini, Sarawak menerima RM200 juta, sama seperti Sabah. Ini membuktikan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap keperluan penyelenggaraan jalan raya di kedua-dua negeri ini, berbanding hanya RM50 juta pada 2024 dan 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Cabutan Undi Tawaran Kerja Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Sarawak 2026, di Hikmah Exchange, hari ini.

MENTERI Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi sempena Majlis Cabutan Undi Tawaran Kerja Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Sarawak 2026 di Hikmah Exchange, hari ini. Foto Shikin Mahmud

Beliau berkata, kerja-kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Sarawak dilaksanakan menerusi syarikat konsesi DAL HCM Sdn Bhd, melibatkan kerja Berkala Pavemen bernilai RM174.6 juta dan kerja Berkala Bukan Pavemen bernilai RM25.4 juta.

Pembahagian kerja tersebut melibatkan empat kerja bagi kontraktor G1, 25 kerja bagi G2, 47 kerja bagi G3 dan 65 kerja bagi G4, berdasarkan keperluan sebenar di lapangan.

Menurutnya, seramai 385 kontraktor yang memenuhi kriteria pendaftaran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), memiliki rekod prestasi serta Sijil Taraf Bumiputera (STB) telah menyertai proses cabutan undi yang dilaksanakan secara telus dan adil.

Menurutnya, skop kerja Berkala Pavemen merangkumi kerja pengisaran (mill) dan penurapan semula (pave), Kitar Semula Sejuk di Tapak (CIPR), kerja lapisan semula (overlay) serta pembinaan semula jalan, manakala kerja Berkala Bukan Pavemen melibatkan aspek keselamatan dan estetika jalan seperti garisan jalan, papan tanda, batu penghadang jalan (road kerb) dan sistem perparitan.

Beliau menegaskan bahawa semua pelaksanaan kerja akan dipantau rapi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan prestasi kontraktor akan dinilai sebagai asas pertimbangan bagi peluang pelaksanaan kerja pada masa hadapan.

“Tiada kompromi akan diberikan terhadap aspek kualiti, kos, tempoh siap dan keselamatan. Jalan yang tidak diselenggara dengan baik akan memberi kesan langsung kepada keselamatan pengguna,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan tegas termasuk senarai hitam boleh dikenakan terhadap kontraktor yang gagal mematuhi spesifikasi, melakukan subkontrak tanpa kebenaran atau menghasilkan kerja berkualiti rendah.

“Kerajaan telah memperuntukkan dana yang besar. Oleh itu, semua pihak perlu memastikan setiap peruntukan digunakan secara berkesan demi keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan pengguna jalan raya Persekutuan,” katanya.

Tambah beliau, peningkatan peruntukan yang ketara bagi 2026 ini sekali gus menepis dakwaan bahawa Sarawak dianaktirikan dalam aspek penyelenggaraan jalan raya Persekutuan.

“Untuk tahun ini, kita buktikan bahawa Sarawak menerima perhatian sewajarnya dengan peruntukan yang jauh lebih besar demi kepentingan rakyat,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Kuching terima pengiktirafan antarabangsa Anugerah Wilayah ANGELS
Next: Elak jadi mangsa penipuan rumah kebajikan palsu – Nancy

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.