Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Kontraktor harus disiplin siapkan projek
  • Selatan
  • WILAYAH

Kontraktor harus disiplin siapkan projek

Utusan Sarawak 4 months ago
LAWATAN… Datuk Francis Harden Hollis mengadakan lawatan tapak pembinaan rumah panjang baharu dan tapak cadangan pembinaan rumah panjang baharu di sekitar kawasan Undop semalam.

SIMANGGANG: Kontraktor yang telah dipilih dalam sesuatu projek harus berdisiplin dalam menyiapkan pembinaan projek berdasarkan tempoh masa yang telah dipersetujui dalam tawaran tender.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, ini bagi memastikan sesuatu projek disiapkan mengikut jadual ditetapkan, termasuk mengelak berlakunya isu kontraktor culas dan mengabaikan aspek piawaian projek, khususnya membabitkan aspek keselamatan.

Malah katanya, agensi pelaksana, begitu juga wakil rakyat perlu sentiasa memantau perkembangan projek dilaksanakan itu kerana ia membabitkan kepentingan rakyat.

“Ini perlu agar sebarang teguran atau kekurangan yang dikenal pasti semasa pembinaan berlangsung boleh diperbetulkan atau dibaik pulih dengan segera mengikut spesifikasi dan tempoh yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak pembinaan rumah panjang baharu di Rumah Japing, Kampung Nyakai Baruh, Jalan Paip dan tapak cadangan pembinaan rumah panjang baharu di Rumah Thomas Barau, Kampung Genting San, Undop untuk melihat sendiri kemajuan projek, semalam.

Dalam pada itu, lawatan tapak projek juga dilakukan terhadap projek pembinaan jambatan konkrit merentangi Sungai Undop, Kampung Beleti Sabu. Projek tersebut dibiaya dibawah peruntukkan Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) manakala agensi pelaksana adalah Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman dan kontraktor Rosben Holding Sdn Bhd.

Harden berkata bagi penduduk kampung yang ingin mendirikan rumah panjang baharu, perkara asas yang perlu dilaksanakan ialah persetujuan penduduk mengenai lokasi, tarikh mula dan direkodkan ke dalam minit mesyuarat perancangan dan proses sehingga rumah panjang siap sepenuhnya.

“Kerajaan sentiasa mengambil berat kesusahan penduduk kampung yang ingin membina rumah panjang baharu. Justeru itu, kerajaan melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) telah menyediakan pinjaman perumahan maksimum RM50,000 dalam bentuk menyediakan perkakas rumah sebagai permulaan pembinaan.

“Pinjaman yang disediakan menurut rekod, amat membantu dalam usaha mendirikan struktur rumah panjang baharu dan penduduk hanya membayar balik pinjaman pada kadar yang rendah sebagai komitmen melangsaikan pinjaman yang disediakan,” katanya.

Sebagai usaha membantu meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan luar bandar, Harden menambah kerajaan sentiasa menggalakan penduduk mengambil inisiatif untuk meneroka tanah baharu sebagai tapak projek pertanian dan peranan kerajaan adalah menyediakan akses seperti jalan raya dan jambatan.
Oleh Adi Saparman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Kevin Lau tinjau keadaan banjir di SMK Kwong Hua
Next: Pantau keadaan, fenomena air pasang besar dijangka berlaku di Bintulu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.